Dalam satu kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat bagi merasmikan pembukaan penggal persidangan keempat pada tarikh berkenaan yang akan diadakan di Kota Iskandar.
“Saya mahu semua Ahli Dewan bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan negeri Johor, terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi negeri Johor dengan sebaiknya,” kata Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah demikian selepas menerima menghadap Menteri Besar, Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan negeri, Azmi Rohani dan Penasihat Undang-undang Johor, Amir Nasruddin pagi tadi.
“Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat saya yang dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini. Saya juga kecewa kerana sehingga hari ini, masalah penularan virus Covid-19 masih belum dapat diselesaikan,” kata Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat berkata, beliau maklum mengenai kenyataan Sultan Ibrahim dan notis memanggil sidang DUN akan dihantar 21 hari sebelum tarikh 12 Ogos.
“Notis memanggil sidang DUN akan dikeluarkan 21 hari sebelum 12 Ogos dan tempoh masa yang ada sempat untuk Pejabat Jurutulis mengumpul semua soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ini adalah ruang yang terbaik untuk semua ADUN sampaikan pandangan dan membincangkan masalah rakyat yang amat terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya kepada FMT.