Ugutan tak kena tempat akan makan diri, Annuar ingatkan Umno

Ugutan tak kena tempat akan makan diri, Annuar ingatkan Umno

Ia selepas Umno memberi 14 hari kepada kerajaan PN untuk memanggil sidang Parlimen.

Annuar Musa berkata, sebagai parti yang pernah mentadbir negara, Umno sepatutnya memahami proses memanggil sidang Parlimen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa mengingatkan Umno bahawa ugutan tidak kena pada tempat akan memakan diri selepas parti itu memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen.

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional itu berkata, sebagai parti yang pernah mentadbir negara, ia sepatutnya memahami proses memanggil sidang Parlimen.

“Sepatutnya mereka lebih ‘cool’ dalam memberi pandangan.

“Ugutan yang tidak kena pada tempat akan memakan diri dan menampakkan agenda sebenar di sebalik kegelojohan,” tulisnya di Twitter malam tadi.

Semalam, Umno memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memanggil sidang Parlimen susulan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu supaya Dewan Rakyat bersidang semula secepat mungkin.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kegagalan kerajaan mematuhi titah itu dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi raja-raja.

Katanya, Umno akan mengadakan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi bagi membincangkan tindakan lanjut jika kerajaan gagal berbuat demikian.

Rabu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara kerana menyedari peranan penting institusi itu bagi membincangkan isu berkaitan Covid-19.

Ia disusuli kenyataan bersama Raja-raja Melayu yang berpandangan tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos dan menggesa Dewan Undangan Negeri bersidang semula secepat mungkin.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut senada dengan Annuar bahawa Umno sepatutnya menyedari proses memanggil sidang Dewan Rakyat.

Katanya, PAS bersetuju Parlimen perlu bersidang semula dan yakin urusetia Dewan Rakyat sedang membuat persiapan berkaitan.

“Sidang Parlimen mempunyai peraturan tertentu, termasuk notis soalan kepada Ahli Parlimen dan notis persidangan yang tentu mengambil masa.

“Isu keselamatan Ahli Parlimen semasa persidangan, SOP dalam tempoh perintah kawalan pergerakan perlu dibuat, apa pun bagi PAS, kenyataan perdana menteri dan dan kesediaan mengadakan sidang Parlimen adalah gambaran kesediaan melaksanakan titah Agong,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.