Ugut ibu kandung guna pisau, lelaki dipenjara 7 bulan

Ugut ibu kandung guna pisau, lelaki dipenjara 7 bulan

Tertuduh yang ketika itu mabuk berang selepas ibunya enggan memberikan wang untuk membeli dadah.

Tertuduh mengamuk dan meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah sambil mengacukan pisau. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang mengugut ibu kandungnya menggunakan pisau selepas wanita itu enggan memberikan wang untuknya membeli dadah dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

R Mahendran, 23, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu terhadap P Kalaivaini, 50, di sebuah unit pangsapuri di Pelangi Damansara, PJU 6, Persiaran Surian di sini, pada 9 malam, 18 Jun lalu.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret M Barath memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 20 Jun lalu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah mengamuk dan meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah sambil mengacukan pisau ke arah wanita itu.

Dia turut berkata “mahu duit, jika tak ada duit mahu kasi potong”.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara mengambil kira faktor mangsa yang diugut adalah ibu kandung tertuduh yang sepatutnya dilindungi.

Mahendran yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman penjara minimum atas alasan dia mabuk ketika kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.