
Katanya, kadar positif baharu kebelakangan ini menunjukkan penurunan juga disebabkan jumlah saringan yang dilakukan berkurangan sehingga 52% sejak 29 Mei lalu.
Oleh itu beliau berkata, tidak mengejutkan kes harian juga menurun sebanyak 48% dalam tempoh sama.
“Pada 21 Jun, KKM melaporkan hanya 58,384 ujian saringan Covid-19 dilakukan dengan 4,611 kes positif dikesan dan kadar kes positif 7.90%. Ia adalah kadar kes positif harian tertinggi sejak Januari tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau membandingkan purata 2,107 kes harian baharu yang dilaporkan April lalu dengan 58,277 ujian saringan dilakukan dalam sehari dua bulan lalu.
“Dalam maksud lain, kita hari ini mempunyai dua kali ganda kes dengan kadar ujian sama yang kita lakukan pada April.”
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) katanya, 10 hingga 30 ujian perlu dilakukan untuk satu kes positif atau lebih apabila terdapat penularan wabak bagi membendung kes sporadik.
“Menurut syor dari WHO itu, Malaysia seharusnya melakukan sekurang-kurangnya 138,000 atau 300,000 ujian saringan setiap hari. Sekiranya 138,000 ujian saringan dilakukan hari ini, kita pasti akan mengesan lebih 9,000 kes baharu.”
Presiden PKR itu berkata, ramai pakar penyakit berjangkit, saintis data, pakar ekonomi, badan dan institut pemikir serta penyelidikan mengesyorkan kadar ujian saringan ditingkatkan tetapi jumlah ujian sebaliknya berkurangan.
Katanya, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada 5 Feb lalu memaklumkan KKM sedang meningkatkan keupayaan pengujian kepada 200,000 sehari dan mengarahkan makmal swasta meningkatkan ujian saringan.
“Setakat ini, ujian saringan yang paling tinggi dibuat dalam satu hari adalah sebanyak 126,964 pada 29 Mei lalu. Angka ini jauh daripada 200,000 ujian saringan yang disasarkan KKM.
“Malaysia dalam fasa darurat sejak Januari lalu. Saya bingung memikirkan mengapa keupayaan ujian saringan tidak mencapai sasaran dan mengapa kerajaan yang mempunyai kuasa di bawah Ordinan Darurat kini merayu kepada sektor swasta bagi membantu dalam rencana ini.”
Semalam, KKM melaporkan 4,611 kes baru Covid-19 dengan 69 kematian, sementara 5,439 pesakit dilaporkan sembuh.