Pembangkang tidak boleh bertindak tanpa calon PM, kata penganalisis

Pembangkang tidak boleh bertindak tanpa calon PM, kata penganalisis

Usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin tidak mungkin berlaku ketika negara masih berdepan krisis Covid-19.

PETALING JAYA:
Umno dan Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin melainkan mereka bersetuju tentang calon perdana menteri baharu dan sehingga krisis Covid-19 terkawal, kata penganalisis politik.

Bekas pensyarah Azmi Hassan berkata, tempoh masa 14 hari yang diberi Umno kepada Muhyiddin adalah untuk memaksa kerajaan Perikatan Nasional (PN) melakukan “sesuatu yang positif”.

Semalam Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau memberi kerajaan PN tempoh 14 hari untuk memanggil sidang Parlimen.

Azmi berkata, Umno menggunakan peluang ini untuk meletakkan PN dalam kedudukan yang janggal.

“Mereka tahu (sidang Parlimen) tidak dapat dibuat selewat-lewatnya sehingga penghujung Julai tetapi mereka rasa ini cara terbaik memaksa PN,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, tidak mungkin mana-mana parti politik akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri apabila Parlimen bersidang dengan rakyat akan menuduh ahli politik lebih mengutamakan kepentingan diri berbanding kesihatan awam.

“Isu kesihatan perlu diberi keutamaan ketika ini. Isu lain adalah pekerjaan kerana ramai orang kini tidak memiliki pekerjaan,” tambah beliau.

Bagaimanapun katanya, Umno dan PH mungkin akan menyebabkan beberapa kesukaran buat parti pemerintah dengan tidak menyokong beberapa rang undang-undang yang dibentangkan.

Tambah beliau, sesiapa yang mahu menekan untuk mengusulkan undi tidak percaya seharusnya bersedia dengan nama calon perdana menteri yang baharu jika kerajaan sedia ada gagal mendapatkan sokongan majoriti.

Ahli Persatuan Agora Kenneth Cheng memberitahu FMT, Umno hanya akan dapat melakukan perubahan sebenar jika pilihan raya diadakan.

Beliau berkata, walaupun parti itu menarik balik sokongan daripada kerajaan sekarang, mereka perlu bersetuju dengan parti politik lain tentang calon perdana menteri.

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan kenyataan bahawa Parlimen harus bersidang secepat mungkin.

Sehari sebelum itu Muhyiddin berkata, Parlimen dijangka bersidang pada September atau Oktober dan jika kes jangkitan harian Covid-19 jatuh bawah 2,000.

Cheng berkata, tidak semua menteri Umno akan menarik sokongan daripada kerajaan pada masa wabak kini.

Katanya, Umno akan mempunyai peluang cerah untuk memerintah negara selepas pilihan raya umum dengan sokongan dijangka daripada kawasan Melayu di luar bandar dan bandar.

“Sehingga itu, Umno perlu menyusun strategi mereka,” kata beliau.

Tambah Cheng, tidak begitu jelas sama ada Muhyiddin masih memegang majoriti di Dewan Rakyat, terutama selepas dua Ahli Parlimen Umno menarik sokongan, iaitu pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub, serta Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz,

Ahli Parlimen Gua Musang Razaleigh Hamzah pula berkata, beliau enggan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Kata Cheng, beberapa Ahli Parlimen mungkin mengalih sokongan kepada pentadbiran Muhyiddin dan permainan ini dijangka berterusan sehingga pilihan raya diadakan.

Penganalisis sosiopolitik Awang Azman Pawi berkata, kenyataan Zahid menunjukkan bahawa parti itu kini menjauhkan diri dari kerajaan.

“Dengan memberikan ‘ultimatum’, mereka mahu pentadbiran Muhyiddin segera membuka kembali Parlimen,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.