Makan malam, wang dan wanita habuan bolot projek

Makan malam, wang dan wanita habuan bolot projek

Kajian itu menunjukkan sektor pembinaan khususnya sering terganggu oleh rasuah di pelbagai peringkat.

PETALING JAYA:
Wang tunai ribuan ringgit, makan malam serba mewah, berkunjung ke kelab malam dan wanita antara habuan yang disediakan sektor pembinaan bagi memastikan kelancaran dalam perniagaan, demikian menurut satu kajian.

Kajian berdasarkan temubual dengan kakitangan tiga syarikat pembinaan di Lembah Klang, mendakwa sektor itu berdepan wabak rasuah berbilang aras.

Ia bermula sebaik bata pertama disusun hinggalah ke setiap bulan berikutnya.

Kontraktor utama mungkin terpaksa mengasingkan sehingga RM20,000 setiap bulan untuk merasuah agensi penguatkuasaan berbeza yang melakukan pemeriksaan di tapak pembinaan mereka.

Mereka yang enggan ‘mengikut arus’ berdepan risiko kehilangan tender, pekerja asing sering diganggu atau sering menjadi sasaran serbuan.

“Pihak berkuasa termasuk pegawai polis akan memeras pekerja asing dengan mengurung mereka selama dua minggu atau lebih lama jika sogokan tidak dibayar, demikian menurut laporan kajian bertajuk “Corruption in the Supply Chain: Forms and Impact to Consumers”.

“Taktik seperti itu digunakan untuk menakut-nakutkan pemilik perniagaan atau kontraktor dan menyebabkan kerugian dengan mengganggu operasi yang akhirnya akur dan memenuhi permintaan mereka,” kata laporan itu.

Pun begitu, sebahagian responden kajian yang dijalankan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Gabungan untuk Integriti Perniagaan (CBI)
berkata amalan rasuah ini adalah norma dan “kos dalam perniagaan”.

Menyentuh soal kos rasuah, kajian mendapati kontraktor utama terpaksa mengeluarkan sogokan sehingga RM1,000 untuk setiap pekerja asing, yang mencecah ratusan orang untuk agensi berkaitan bagi mendapatkan permit selama lima tahun.

Malah, subkontraktor sendiri terpaksa merasuah kontraktor utama hanya untuk mendapatkan sebahagian kecil projek. Bayaran sehingga RM500,000 lazimnya adalah untuk projek bernilai RM100 juta hingga RM300 juta.

Kajian menunjukkan bahawa kos amalan rasuah ini terpaksa ditanggung pengguna, dalam bentuk nilai hartanah yang melambung tinggi, standard yang terjejas atau produk akhir yang rendah kualitinya. Ia turut menjejaskan pelaburan asing.

Menurut responden, amalan rasuah ini berlaku antara lain kerana proses birokrasi yang tidak cekap di mana perniagaan cuba “memberi sogokan” untuk mempercepat kelulusan permohonan atau mengelak daripada penguatkuasaan tertentu.

Laporan itu mendesak pelaksanaan strategi anti-rasuah yang lebih meluas termasuk memperkukuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjadikannya lebih bebas. Kajian itu mengesyorkan agar pegawai kanan dipilih oleh panel di Parlimen.

Laporan itu turut mencadangkan agar kerajaan menyederhanakan halangan pengawalseliaan yang tinggi yang boleh menjadi pendorong kepada amalan rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.