Hari pertama bekerja berikutan PKP, pemandu jengkaut maut dihempap jentera

Hari pertama bekerja berikutan PKP, pemandu jengkaut maut dihempap jentera

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Arshad Abu berkata, mangsa berusia 29 tahun itu dipercayai sedang meratakan tanah pertanian di kawasan berkenaan.

Polis berkata, bapa kepada seorang anak berusia setahun lebih itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
PETALING JAYA:
Seorang pemandu jengkaut maut setelah dihempap jentera berat dipandunya yang terbalik di kawasan kebun di Melaka pada hari pertama mangsa kembali bekerja berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah Arshad Abu, dalam kejadian jam 3.15 petang semalam mangsa Mohamad Sabirin Umar, 29, dipercayai sedang meratakan tanah pertanian di kawasan berkenaan di Kampung Brisu.

Katanya, bapa kepada seorang anak berusia setahun lebih itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa ditemui maut di tempat duduk pemandu jengkaut berkenaan dalam keadaan meniarap dan kepalanya tersepit di bahagian bumbung jentera tersebut,” katanya, menurut laporan Bernama.

Arshad berkata, mangsa baru memulakan pekerjaan sebagai pemandu jengkaut semalam selepas lama tidak bekerja kerana PKP.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk siasatan lanjut dan ujian calitan Covid-19 dilakukan sebelum bedah siasat dijalankan hari ini.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.52 petang dan satu jentera dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan kekuatan 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa mengambil masa kira-kira 20 minit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.