
Hospital awam itu turut bermasalah dalam memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19 yang dibawa ke hospital itu, kata ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.
Beliau mendakwa pihaknya menerima banyak aduan sedemikian dalam kalangan penduduk kawasannya dan menuntut penjelasan daripada Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
“Pagi tadi sekitar jam 6, seorang wanita positif Covid-19 mengalami sesak nafas (di rumahnya) di Taman Bukit Serdang… amat mengecewakan apabila operator Hospital Serdang berkata, sekarang tiada ambulans dan meminta beliau (pesakit) datang sendiri (ke hospital).”
“Selepas saya mendengar insiden ini, saya menghubungi Hospital Serdang dan (akhirnya) mendapatkan khidmat ambulans untuk beliau,” kata Ean Yong.
Ean Yong berkata, semalam sepasukan sukarelawan yang menghantar pesakit Covid-19 ke Hospital Serdang diberitahu oleh petugas hospital supaya “jangan hantar lagi pesakit Covid-19 ke sana disebabkan sudah tidak cukup katil.”
“Saya yakin ini bukan sahaja berlaku di Hospital Serdang tetapi juga berlaku kepada banyak hospital di kawasan Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan.
“Oleh kerana terdapat aduan yang banyak, pusat khidmat saya telah…mengubah suai sebuah van untuk menghantar pesakit yang dinafikan ambulan ke hospital,” tambah beliau.
Wakil rakyat itu menyelar kerajaan yang didakwa lebih mementingkan politik sehingga mengabaikan tanggungjawab memastikan kemudahan di hospital awam mencukupi.
“Sudah hampir dua tahun wabak Covid-19 berlarutan, pemimpin kerajaan Persekutuan yang tidak cekap dan utamakan politik telah gagal untuk merancang sehingga kapasiti infrastuktur kesihatan negara sudah berapa di tahap kritikal,” ujarnya.
Kelmarin, media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan perolehan lebih banyak unit kenderaan ambulans tekanan negatif bagi mengangkut pesakit Covid-19 ke pusat rawatan.
Adham berkata, ambulans tekanan negatif itu merupakan keperluan penting terutama di lokasi yang mempunyai kes jangkitan tinggi.
Unit ambulans berkenaan dilengkapi sistem tekanan negatif, penapisan HEPA dan lampu UV khusus untuk kes penyakit berjangkit terutama jenis penyakit bawaan.