
Beliau berkata, inisiatif itu adalah bagi mempercepat program imunisasi di Sarawak dan diletakkan di bawah Program Tambang Bas Serata RM1 yang dikendalikan oleh kerajaan negeri.
Selain itu, Sarawak Metro Sdn Bhd turut dipelawa membantu inisiatif tersebut dengan menyediakan perkhidmatan bas hidrogen secara percuma kepada orang ramai di sepanjang laluan ke PPV atau pusat imunisasi di Kuching.
“Kerajaan negeri menyedari sepenuhnya bahawa terdapat sebilangan penduduk yang tidak memiliki akses mudah untuk ke PPV kerana jarak rumah mereka yang jauh atau mempunyai ahli keluarga ramai dan tidak muat di dalam sebuah kenderaan di bawah SOP (prosedur operasi standard) bagi pengangkutan.
“Kerjasama (dengan syarikat bas) ini akan membolehkan lebih ramai orang mendapat akses kepada pengangkutan lebih baik dan dengan tambang yang berpatutan untuk ke PPV atau pusat imunisasi,” menurut Lee dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, jadual perjalanan ke PPV atau pusat imunisasi sedang disusun dengan syarikat bas henti-henti dan akan dikeluarkan kepada orang ramai dalam masa terdekat.
Katanya, bagi pihak kerajaan negeri Sarawak, beliau mengucapkan terima kasih kepada syarikat bas henti-henti terbabit dan Sarawak Metro Sdn Bhd kerana membantu inisiatif kerajaan dengan menyediakan perkhidmatan itu dalam waktu yang singkat.