Penyu karah tak sempat bertelur, mati terbelit rawai nelayan

Penyu karah tak sempat bertelur, mati terbelit rawai nelayan

Ia kes kesembilan penyu ditemui mati di pesisiran pantai di Melaka dipercayai terkena peralatan nelayan yang dilarang seperti rawai, tagan atau pekap sepanjang tahun ini.

Penyu seberat 40kg itu tidak sempat mendarat untuk bertelur di Pantai Tanjung Bidara, Melaka.
PETALING JAYA:
Seekor penyu karah ditemui mati dengan kesan luka pada leher dipercayai terbelit rawai nelayan di pesisiran Pantai Tanjung Bidara, Alor Gajah, Melaka.

Dalam kejadian 4.30 petang Ahad, penyu seberat 40kg itu tidak sempat mendarat untuk bertelur di pantai berkenaan.

Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Solehon berkata, sepasukan pegawai tiba di lokasi kejadian selepas menerima aduan orang ramai.

Katanya, pemeriksaan mendapati penyu itu dipercayai mati di laut akibat terkena rawai.

“Penyu itu sebelum ini pernah bertelur di pantai Melaka berdasarkan ‘tag’ yang ditandakan pada badan haiwan berkenaan. Disebabkan terkena rawai penyu itu tidak dapat mendarat untuk bertelur di pantai negeri ini sekali lagi.

“Lebih menyedihkan ini adalah kes kesembilan penyu ditemui mati di pesisiran pantai di negeri ini dipercayai terkena peralatan nelayan yang dilarang seperti rawai, tagan atau pekap sepanjang tahun ini,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Fauzi berkata, sehubungan itu tindakan akan diambil mengikut Akta Perikanan 1985 jika masih terdapat nelayan menggunakan peralatan dilarang ketika menangkap ikan.

“Apabila nelayan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan, ia boleh menyebabkan penyu tersangkut dan termakan mata kail,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.