Penangan cinta maya jejaka ‘Amerika’, duit ibu tunggal hampir RM1 juta ‘cair’

Penangan cinta maya jejaka ‘Amerika’, duit ibu tunggal hampir RM1 juta ‘cair’

Akibat termakan pujukan lelaki memperkenalkan diri sebagai 'William Schang' mangsa yang juga kerani berusia 58 tahun menyerahkan wang simpanannya berjumlah RM927,400.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata, mangsa berkenalan dengan suspek melalui Instagram sejak April 2019.
PETALING JAYA:
Seorang ibu tunggal kerugian hampir RM1 juta selepas lebih dua tahun terjebak cinta maya seorang lelaki daripada sindiket “Love Scam” dalam kejadian di Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Akibat termakan pujukan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai “William Schang” konon menetap di Amerika Syarikat (AS), mangsa yang juga kerani berusia 58 tahun menyerahkan wang simpanannya dan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM927,400.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata, mangsa berkenalan dengan suspek melalui Instagram sejak April 2019.

“Mereka kemudian bertukar nombor telefon dan menjalin hubungan cinta walaupun tidak pernah berjumpa secara bersemuka.

“Suspek mengadu mempunyai masalah kewangan kepada mangsa kononnya memerlukan wang untuk membiayai urusan perniagaan cari gali petroleum miliknya di AS.

“Lelaki itu meminta pertolongan mangsa dan berjanji memulangkan semula wangnya dengan komisen tinggi,” katanya menurut laporan Bernama.

Shafee berkata, percaya dengan janji lelaki itu, mangsa melakukan 50 transaksi sejak 9 April 2019 hingga Februari lalu ke lima akaun tempatan membabitkan wang berjumlah RM927,400.

Katanya, wanita itu hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi lelaki terbabit selepas memindahkan semua wang berkenaan.

“Mangsa yang menyedari menjadi mangsa penipuan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah semalam. Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan pemilik akaun digunakan sindiket tersebut untuk menipu mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan keldai akaun untuk setiap transaksi malah semakan mendapati empat daripada lima nombor akaun itu mempunyai laporan bersangkut kes penipuan di beberapa negeri lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.