Ahli sosiologi Denison Jayasooria berkata, sekatan pergerakan disebabkan penularan pantas penyakit boleh membawa maut itu menyebabkan ramai dalam sektor tidak formal dan bekerja sendiri hilang pekerjaan serta punca pendapatan mereka.
Selain menyediakan bantuan tunai segera kepada mereka, “tiada cara lain” untuk kerajaan membantu golongan B40 dan komuniti memerlukan kecuali melonggarkan langkah sekatan pergerakan dan membuka ekonomi secara terkawal.
“Sebab kadar kemiskinan lebih tinggi adalah jelas dengan pelaksanaan sekatan pergerakan,” kata felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia itu kepada FMT.

“Kumpulan ini (B40) mempunyai perlindungan sosial rendah dan tiada pencen, jadi terdapat beberapa masalah institusi yang perlu diperbaiki.
“Kerajaan perlu menyeimbangkan kesihatan serta ekonomi dan mereka cuba membantu…tetapi ia tidak mencukupi untuk kesulitan berpanjangan sebegini.”
Katanya, sekatan pergerakan dan penutupan pelbagai sektor dianggap “tidak perlu” memberi kesan buruk ke atas punca pendapatan rakyat dalam kategori B40 dan ramai daripadanya adalah pekerja tidak berkemahiran mendapati hampir mustahil untuk bekerja dari rumah.
Minggu lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, pandemik menjejaskan pendapatan rakyat dan mendedahkan lebih banyak keluarga kepada kemiskinan dengan kadar kemiskinan meningkat daripada 5.6% pada 2019 kepada 8.4% tahun lalu.
Jayasooria berkata, hakikat had garis kemiskinan meningkat lebih sekali ganda berbanding statistik pada 2019 mungkin menyebabkan lebih banyak keluarga Malaysia dimasukkan dalam statistik kemiskinan tahun lalu dengan realiti ialah “statistik ini mungkin lebih teruk”.

Garis kemiskinan dinaikkan tahun lalu daripada pendapatan bulanan isi rumah RM980 kepada RM2,208, iaitu perubahan pertama had garis kemiskinan dalam tempoh 15 tahun.
Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran berkata, menurunkan kadar kemiskinan boleh dilakukan dengan mudah.
“Ia sangat mudah – hanya berhenti melaksanakan sekatan pergerakan.
“Semua perkara lain adalah penyelesaian kecil untuk menjauhkan rakyat daripada menjana sebarang pendapatan. Perniagaan terpaksa ditutup…dan MNC (syarikat multinasional) berpindah kerana suasana perniagaan tidak baik. Semua ini menyumbang kepada kemiskinan.”