Kertas siasatan ibu Neelofa akan diserah kepada timbalan pendakwa raya

Kertas siasatan ibu Neelofa akan diserah kepada timbalan pendakwa raya

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya baru sahaja menerima laporan teknikal daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kes itu.

Ibu Neelofa, Noor Kartini Noor Mohamed sebelum ini dikatakan mengkritik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi akaun Instagram miliknya.
PETALING JAYA:
Kertas siasatan berhubung dakwaan ibu selebriti Neelofa yang memuat naik hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor menerusi Instagram (IG) akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, ketika ini, pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan selepas menerima laporan teknikal daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini.

“Kita perlu lihat laporan SKMM dahulu sebelum melengkapkan kertas siasatan.

“Selepas siap, baru ia boleh dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan serta tindakan selanjutnya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada 4 Jun lalu, polis dilaporkan selesai merakam keterangan tujuh individu, termasuk ibu Neelofa, Noor Kartini Noor Mohamad bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Siasatan dijalankan selepas ibu selebriti itu yang berumur 54 tahun membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada 5.44 petang, 30 Mei lepas.

Kes itu juga sebelum ini disiasat oleh polis Kuala Lumpur namun kemudian diserahkan kepada polis Selangor selepas mendapati insiden berkenaan berlaku di Selangor.

Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Sebelum ini, tular tangkap layar IG Story Noor Kartini dalam laman sosial yang didakwa mengkritik Sultan Johor dengan kebanyakan netizen kesal dengan perkataan kasar digunakan.

Bagaimanapun hantaran dalam IG Story itu kemudian dipadamkan selepas beberapa minit dimuat naik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.