Kes pekerja restoran daun pisang didera: Polis selamatkan 2 warga India, tahan bekas penyelia tempatan

Kes pekerja restoran daun pisang didera: Polis selamatkan 2 warga India, tahan bekas penyelia tempatan

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan Jumaat lalu susulan pendedahan seorang lelaki warga India dalam temu bual disiarkan oleh saluran media India dan kemudian tular.

Polis berkata lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditangkap Jumaat lalu susulan pendedahan seorang lelaki warga India dalam temu bual disiarkan oleh media negara itu.
PETALING JAYA:
Polis menahan reman seorang bekas penyelia sebuah restoran di sini untuk membantu siasatan kes penderaan dan eksploitasi pekerja asing dalam kejadian dipercayai berlaku pada Mac tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditangkap pada Jumaat lepas, susulan pendedahan seorang lelaki warga India dalam temu bual disiarkan oleh media India dan kemudian tular.

Dalam rakaman itu, lelaki berkenaan mengaku sebagai bekas pekerja restoran tersebut dan menceritakan pengalamannya bekerja di situ selain mendakwa dieksploitasi dengan cara tidak dibayar gaji serta dipukul dan didera.

“Selain itu dia turut mendakwa telah menyaksikan rakan sekerjanya juga warga India telah dibakar di bahagian kaki oleh majikan di restoran terbabit, dipercayai berlaku pada Mac tahun lepas.

“Polis kemudian menjalankan siasatan lanjut dan seterusnya berjaya menyelamatkan dua mangsa lelaki warga India berumur 22 dan 34 tahun yang merupakan pekerja dan bekas pekerja di restoran itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Fakhrudin berkata, hasil siasatan lanjut ke atas kedua-dua mereka kemudian membawa kepada penahanan suspek pada 4.30 petang Jumaat lalu.

Beliau berkata, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah serta direman selama enam hari bermula semalam hingga 24 Jun ini.

“Kes disiasat bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) manakala kedua-dua mangsa ditempatkan di rumah perlindungan lelaki setelah Perintah Perlindungan Interim (IPO) selama 21 hari bawah Seksyen 44 (2) ATIPSOM 2007 diperoleh,” katanya.

Fakhruddin berkata, pihaknya juga akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan lelaki yang membuat dakwaan dalam rakaman video berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.