Tiada kes miokarditis, perikarditis berkait vaksin jenis mRNA, kata Noor Hisham

Tiada kes miokarditis, perikarditis berkait vaksin jenis mRNA, kata Noor Hisham

Hanya satu jenis vaksin mRNA, iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, diluluskan pendaftaran bersyarat di Malaysia.

Setakat 13 Jun, sejumlah 2,793,826 vaksin Comirnaty telah diberikan kepada penduduk negara ini melibatkan sebanyak 1,676,959 dos pertama dan 1,116,867 dos kedua. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes membabitkan risiko miokarditis dan perikarditis yang dikaitkan dengan penggunaan vaksin Covid-19 jenis mRNA di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa ini, hanya satu jenis vaksin mRNA, iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, diluluskan pendaftaran bersyarat di Malaysia.

Katanya, setakat 13 Jun, sejumlah 2,793,826 vaksin Comirnaty telah diberikan kepada penduduk melibatkan sebanyak 1,676,959 dos pertama dan 1,116,867 dos kedua.

“Sehingga kini, tiada laporan kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) spesifik untuk miokarditis/perikarditis yang diterima oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan KKM,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura berkenaan risiko miokarditis dan perikarditis yang dikaitkan dengan penggunaan vaksin jenis ini.

KKM merumuskan bahawa profil keselamatan vaksin ini kekal positif dan penggunaannya dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak terjejas.

“Manfaat semasa bagi pemberian vaksin ini adalah jauh melebihi risikonya,” kata Noor Hisham.

Beliau berkata, KKM juga mendapati sehingga kini, tiada tindakan regulatori yang diambil oleh badan rujukan antarabangsa lain seperti Agensi Perubatan Eropah (EMA) dan Petubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke atas produk vaksin Covid-19 jenis mRNA.

“Penilaian masih dijalankan bagi menentukan hubungkait isu ini dengan vaksin Covid-19 jenis mRNA.

Miokarditis merupakan radang pada otot jantung sementara perikarditis pula merujuk kepada radang pada lapisan luar jantung.

Simptom atau gejala yang dikaitkan dengan miokarditis atau perikarditis termasuklah sakit dada, perubahan pada kadar degupan jantung serta kesukaran untuk bernafas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.