Sekolah tutup, pengusaha kantin juga perlu dibantu, kata Tok Mat kepada kerajaan

Sekolah tutup, pengusaha kantin juga perlu dibantu, kata Tok Mat kepada kerajaan

Kementerian Pendidikan wajar mengecualikan semua sewa premis kantin sekolah sehingga sektor persekolahan benar-benar pulih, kata Mohamad Hasan.

Sebanyak 10,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara kini terumbang-ambing berikutan penutupan sekolah sehingga Julai ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengusaha kantin sekolah yang terjejas kerana tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19 perlu mendapat bantuan dan inisiatif daripada kerajaan, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) wajar mengecualikan semua sewa premis kantin sekolah sehingga sektor persekolahan benar-benar pulih.

Katanya, keputusan kerajaan untuk membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas untuk divaksinasi sangat dialu-alukan.

“Begitu juga keputusan untuk mengutamakan pelajar yang akan menduduki peperiksaan umum divaksinasi segera. Semua ini akan mempercepatkan pembukaan sektor persekolahan dan memulihkan sistem pembelajaran dan pengajaran.

“Sementara menunggu semua intervensi tersebut berlaku, janganlah kita lupa kepada sektor sokongan seperti pengusaha kantin sekolah. Lebih 10,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara sangat terjejas dengan penutupan sekolah.

“Wajar mengecualikan semua sewa premis kantin sekolah sehingga sektor persekolahan benar-benar telah pulih,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, kontrak semua pengendali kantin sepatutnya dilanjutkan selama dua tahun, bagi menampung kehilangan peluang dan pendapatan selama hampir dua tahun susulan penutupan sektor persekolahan.

“Pada saat sebegini, apa jua tindakan yang dapat mengurangkan beban rakyat mesti menjadi keutamaan tertinggi kerajaan.”

Terdahulu, media melaporkan sebanyak 10,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara kini terumbang-ambing berikutan penutupan sekolah sehingga Julai ini.

Ini sekali gus memaksa mereka menutup operasi perniagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.