Rayuan Dr Zakir Naik terhadap kebenaran pindah kes 13 Ogos

Rayuan Dr Zakir Naik terhadap kebenaran pindah kes 13 Ogos

Penceramah itu memfailkan rayuan terhadap keputusan yang membenarkan kesnya dipindahkan ke Pulau Pinang atas alasan defendan dan saksi-saksi berasal dari negeri itu.

Dr Zakir Naik mendakwa defendan kes memuat naik lima kenyataan fitnah di Facebook yang menggambarkan dirinya jahat dan ancaman kepada keselamatan negara, keamanan, serta keharmonian di Malaysia. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Rayuan Dr Zakir Naik terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban S Raveentharan untuk memindahkan kes saman yang difailkan penceramah bebas itu terhadapnya berhubung kenyataan fitnah ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang akan didengar pada 13 Ogos ini.

Peguam Meor Hafiz Salehan yang mewakili Zakir ketika dihubungi pemberita berkata, tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Radzilawatee Abdul Rahman ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

Pada 10 Ogos 2020, Zakir memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Julai tahun sama yang membenarkan permohonan Raveentharan untuk memindahkan kes saman itu atas alasan defendan (Raveentharan) dan saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan berasal dari Pulau Pinang.

Pada 12 Dis 2019, Zakir selaku plaintif memfailkan saman terhadap Raveentharan atas dakwaan memuat naik lima kenyataan fitnah di Facebook antara 13 dan 17 Okt tahun sama.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa lima kenyataan itu dilakukan dengan niat jahat tanpa membuat pengesahan daripadanya berhubung kebenaran dan kesahihan dakwaan dalam hantaran tersebut.

Zakir mendakwa lima kenyataan yang dimuat naik itu menggambarkan bahawa dirinya sebagai orang yang jahat dan ancaman kepada keselamatan negara, keamanan, dan keharmonian di Malaysia, selain mendakwa kenyataan itu tidak berasas dan palsu.

Justeru plaintif memohon perintah daripada mahkamah supaya defendan mengeluarkan lima kenyataan fitnah itu daripada laman sesawang, media sosial atau mana-mana medium yang berkaitan, selain menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan serta relif lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.