
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang juga Ketua Hakim Syarie Dr Mohd Na’im Mokhtar dipetik Bernama berkata, pengoperasian dan prosedur operasi standard (SOP) setiap Mahkamah Syariah negeri bagaimanapun bergantung kepada kerajaan negeri masing-masing.
“Di peringkat kami, kami cuba menyelaraskan (SOP), namun bergantung kepada kerajaan negeri masing-masing untuk membenarkan pengoperasian dan SOP yang akan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.
Susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 1 Jun hingga 14 Jun, perkhidmatan kehakiman Syariah itu tidak dibenarkan beroperasi kerana tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu. PKP 3.0 kini disambung sehingga 28 Jun.
Mohd Na’im berkata sebelum ini ada prosiding mahkamah syariah yang dijalankan secara dalam talian namun bergantung kepada persetujuan semua pihak (mahkamah, hakim, peguam dan anak guam).
Pada 14 Jun lepas, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam kenyataannya meminta supaya MKN membenarkan Mahkamah Syariah dan firma peguam syarie di seluruh negara beroperasi sepanjang PKP 3.0.
Dalam kenyataan itu, Presiden PGSM Musa Awang berkata kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bukan hanya tertumpu kepada permohonan pernikahan, perceraian dan rujuk (NCR) tetapi turut meliputi keganasan rumah tangga, permohonan perintah injunksi membabitkan harta, perebutan hak jagaan serta lawatan anak-anak, perintah interim jagaan anak dan lain-lain.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata pihaknya juga telah mengemukakan cadangan pindaan undang-undang berhubung tatacara prosiding dalam talian kepada Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil.
“Ini kerana buat masa ini, tiada peruntukan undang-undang khusus berkaitan prosiding secara dalam talian di Mahkamah Syariah. Namun, pendekatan telah diambil oleh hakim dan mahkamah untuk meneruskan kes secara dalam talian bergantung kepada persetujuan bersama semua pihak-pihak (hakim, peguam dan anak guam),” katanya.