Isu pewartaan: Graduan perubatan dari 36 institusi dibenar teruskan latihan

Isu pewartaan: Graduan perubatan dari 36 institusi dibenar teruskan latihan

Majlis Perubatan Malaysia berkata, graduan terbabit boleh mengemukakan permohonan pendaftaran sementara melalui 'Medical Register Information and Technical System (MeRITS)' mulai semalam.

Sejumlah graduan perubatan mendakwa nama mereka tiada dalam senarai penempatan latihan akibat perbezaan nama universiti dan ijazah perubatan yang diwartakan di bawah Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2021). (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berkata, graduan perubatan yang hilang kelayakan penempatan latihan akibat isu perbezaan nama institusi atau ijazah yang diwartakan sudah dibenarkan meneruskan latihan mereka.

Ia membabitkan perbezaan nama universiti dan ijazah perubatan yang diwartakan di bawah Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2021) menyebabkan sejumlah graduan perubatan mendakwa nama mereka tiada dalam senarai penempatan latihan.

Graduan itu dimaklumkan MMC yang universiti mereka terbabit dalam isu pewartaan, oleh itu mereka tidak akan diiktiraf MMC sehingga isu berkenaan selesai.

Setakat ini, MMC mengenal pasti 36 universiti dari sembilan negara, termasuk Malaysia, terbabit dalam isu itu.

Semua graduan perubatan perlu berdaftar dengan MMC untuk mengamalkan perubatan di Malaysia.

MPM dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya sudah meminta penasihat undang-undang (PUU) Kementerian Kesihatan (KKM) menyemak draf Perintah Perubatan (Jadual Kedua).

“Maklum balas PUU KKM bertarikh 14 Jun menyatakan sekiranya perbezaan pada nama kelayakan dan/atau institusi tersebut berpunca daripada kesilapan bersifatkan editorial dan bukan kesalahan substantif, dengan maksud ia tidak akan menjejaskan atau menyebabkan kekeliruan dalam mengenal pasti institusi dan kelayakan tersebut, maka MPM boleh melaksanakan pendaftaran di bawah Seksyen 12 Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) sementara menunggu kesilapan editorial tersebut dipinda dan diwartakan.”

Katanya, pandangan itu turut dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa penilaian (JKP) pada 17 Jun lalu dan mengesyorkan proses pendaftaran sementara diteruskan sementara menunggu pembetulan dan pewartaan dilaksanakan.

“Mesyuarat JKP juga akan mengesyorkan kepada Majlis bahawa mana-mana pengamal perubatan daripada institusi yang tersenarai ini dan telah pun berdaftar dengan MPM sebelum pembetulan dan pewartaan dilakukan adalah pengamal perubatan yang sah berdaftar di sisi undang-undang.

MMC berkata, graduan dari institusi terbabit boleh mengemukakan permohonan pendaftaran sementara melalui ‘Medical Register Information and Technical System (MeRITS)’ mulai semalam.

Semalam, Malaysiakini melaporkan 123 pelajar perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berdaftar dengan MMC untuk latihan perubatan, tidak dibenarkan mengamalkannya akibat masalah pewartaan berkaitan universiti mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.