Campuran 2 vaksin boleh jadi formula berjaya, kata pakar

Campuran 2 vaksin boleh jadi formula berjaya, kata pakar

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pendekatan ini dapat digunakan kelak, tetapi tidak perlu terburu-buru melaksanakannya.

PETALING JAYA:
Pakar kesihatan menyokong langkah kerajaan mengkaji kemungkinan penggunaan vaksin berbeza untuk dos pertama dan kedua bagi meningkatkan daya ketahanan terhadap varian Covid-19 berdasarkan hasil kajian di luar negara.

Menerusi bual bicara dalam talian anjuran Oxford and Cambridge Society Malaysia, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menggunakan vaksin AstraZeneca untuk dos pertama dan Pfizer bagi dos kedua.

Beliau berkata, kertas kajian mengenai kaedah itu telah diserahkan kepada jawatankuasa vaksinasi kebangsaan.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, pendekatan ini boleh digunakan kelak tetapi kerajaan tidak perlu terburu-buru melaksanakannya.

Dr Lee Boon Chye.

“Perlu ada bukti lebih meyakinkan sebelum dijadikan dasar. Penggunaan vaksin mesti berdasarkan sains.

“Ketika ini ada bukti awal menunjukkan penggunaan vaksin berbeza untuk suntikan pertama dan kedua,” katanya merujuk kajian dilakukan di Jerman dan Sepanyol yang menunjukkan ia mampu membina daya ketahanan lebih baik.

Namun percubaan Com-Cov Kumpulan Vaksin Oxford menganalisis pelbagai kombinasi vaksin untuk menguji tindak balas imun mendapati penerima cenderung mengalami kesan sampingan lebih kerap.

Sibrandes Poppema.

Ahli imunologi Sibrandes Poppema yang merupakan presiden Universiti Sunway berkata, “masuk akal untuk menggunakan vaksin berbeza sebagai penggalak”.

“Ini kerana dua vaksin akan mempunyai antigen tertentu (protein Covid-19) yang sama, sementara penentu antigen lain daripada adenovirus AstraZeneca tidak akan muncul lagi (dengan suntikan kedua Pfizer). Oleh itu, tindak balas imun terhadap antigen Covid mungkin lebih kuat.”

Walaupun amalan ini tidak digunakan secara meluas dalam vaksin manusia di pasaran katanya, ia adalah amalan biasa dalam ujian klinikal ke atas tikus dan menunjukkan kejayaan.

Azrul Mohd Khalib.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib bersetuju campuran vaksin boleh dipertimbangkan sebagai taktik berguna berdasarkan hasil percubaan dan fleksibiliti yang boleh digunakan pihak berkuasa kesihatan jika timbul masalah bekalan pada masa akan datang.

“Ini pasti akan menjadi penyelesaian berasaskan sains yang baik untuk mengatasi masalah bekalan yang kita hadapi sekarang,” katanya sambil menambah ia akan memberi pilihan kepada kerajaan sekiranya vaksin Pfizer dan AstraZeneca sukar diperolehi ketika program vaksinasi dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.