12 termasuk warga asing ditahan, kompaun, kerana solat Jumaat di rumah kedai

12 termasuk warga asing ditahan, kompaun, kerana solat Jumaat di rumah kedai

Premis itu pejabat bagi syarikat pembersihan, kawalan keselamatan dan urusan kargo manakala semua individu terlibat adalah pekerja di situ.

Ketua Polis Daerah Ampang, Mohamad Farouk Eshak berkata kesemua warga tempatan telah dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang manakala pemilik syarikat kompaun sejumlah RM11,500.
PETALING JAYA:
Seramai enam warga asing ditahan manakala enam lagi lelaki tempatan dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila berkumpul untuk mengadakan solat Jumaat secara berjemaah di sebuah premis rumah kedai, dekat Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang, Mohamad Farouk Eshak berkata, semua individu berusia 23 tahun hingga 60 tahun itu ditahan dalam serbuan polis Ampang Jaya di Taman Nirwana, Ampang sekitar jam 1.30 tengah hari Jumaat.

“Siasatan awal mendapati premis ini pejabat bagi syarikat pembersihan, kawalan keselamatan dan urusan kargo atas tiga syarikat berlainan milik warga tempatan.

“Kesemua individu terbabit didapati melakukan kesalahan berkumpul dan tidak menjaga penjarakan fizikal serta mengadakan aktiviti yang tidak dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, semua individu terlibat adalah kakitangan syarikat berkenaan, manakala semua warga asing yang ditahan mempunyai dokumen pengenalan diri.

Katanya, kesemua warga tempatan telah dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang manakala pemilik syarikat kompaun sejumlah RM11,500. Warga asing terbabit pula ditahan untuk siasatan lanjut.

Susulan itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melanggar SOP PKP agar matlamat kerajaan untuk memutuskan rangkaian penyakit Covid-19 dapat dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.