Sindiket tawar pakej vaksin Covid-19 RM400, RM800 tumpas

Sindiket tawar pakej vaksin Covid-19 RM400, RM800 tumpas

Tawaran vaksin dengan harga RM400 bagi warga tempatan dan RM800 untuk warga asing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Kamarudin Md Din berkata, sindiket itu mempromosikan pakej vaksin Covid-19 menerusi Facebook dan panggilan telefon.
PETALING JAYA:
Satu sindiket penipuan dikesan menawarkan pakej vaksin Covid-19 yang dipromosikan secara dalam talian dan panggilan telefon.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Kamarudin Md Din, berkata sindiket itu yang menawarkan vaksin dengan harga RM400 bagi warga tempatan dan RM800 untuk warga asing, tumpas susulan penahanan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 26 dan 27 tahun dalam satu serbuan di Selangor, semalam.

Kamarudin dipetik Harian Metro berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang pegawai perubatan yang mendakwa menerima maklumat daripada rakannya berkaitan tawaran pakej vaksin Covid-19 pada harga RM400 dan RM800.

“Hasil maklumat diperoleh, kami menahan kedua-dua suspek berkenaan di Selangor. Mereka direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati suspek membuat penawaran pakej vaksin berkenaan melalui Facebook dan panggilan telefon,” katanya.

Kamarudin berkata, pelanggan yang berminat akan didaftarkan ke dalam Program Vaksinansi Covid-19 Selangor (SCVP) melalui aplikasi Selangkah.

Katanya, pembeli yang berminat untuk mendaftar melalui mereka akan diletakkan dalam senarai menunggu.

“Pembayaran hanya perlu dibuat oleh pembeli selepas mereka tersenarai sebagai penerima vaksin dalam aplikasi berkenaan.

“Suspek mendakwa kira-kira 30 orang sudah dihubungi berkenaan pakej vaksinasi terbabit dan 10% sudah menyatakan minat untuk membeli pakej ditawarkan.

“Semakan lanjut mendapati sehingga kini pendaftaran SCVP hanya dihadkan kepada syarikat dan belum dibuka untuk individu persendirian,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung kegiatan penipuan seperti itu.

“Kealpaan kita dalam program dan inisiatif yang sedang dilaksanakan ini boleh dimanipulasi oleh sindiket penipuan yang menangguk di air yang keruh bagi menjana keuntungan mudah.

“Kami juga menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penipuan penjualan vaksin Covid-19 kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.