Adakah Syed Hamid cabar pemimpin Umno tarik sokongan pada kerajaan, tanya Ahmad Jazlan

Adakah Syed Hamid cabar pemimpin Umno tarik sokongan pada kerajaan, tanya Ahmad Jazlan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, kenyataan Syed Hamid Albar menyinggung perasaan ahli dan pemimpin Umno yang menyokong Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Ahmad Jazlan Yaakub (kiri) mengingatkan Syed Hamid Albar supaya tidak melupakan Umno yang banyak berjasa kepadanya sehingga boleh menjadi pemimpin dan menikmati pelbagai manfaat ketika bersama kerajaan BN.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mempersoalkan sama ada kenyataan pemimpin Bersatu, Syed Hamid Albar yang mendakwa “pemimpin Umno makan gaji, naik kereta rasmi kerajaan, tetapi mimpi lain-lain” merupakan isyarat supaya menteri parti itu menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin serta-merta.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kenyataan Syed Hamid juga menyinggung perasaan ahli dan pemimpin Umno yang menyokong Muhyiddin untuk menjadi perdana menteri sebelum ini.

“Kita tersinggung dengan kenyataan ini dan beliau perlu sedar siapakah beliau. Kalau bukan Umno yang melahirkan beliau sebagai pemimpin dan menikmati pelbagai manfaat selama berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) suatu ketika dulu.

“Janganlah kerana sedang menikmati keselesaan sekarang, maka mudah melupakan parti (Umno) yang banyak berjasa kepada kita. Inilah wajah sebenar pemimpin yang hipokrit,” katanya kepada FMT sambil merujuk jawatan menteri yang diberikan kepada Syed Hamid ketika bersama Umno.

Beliau mengulas kenyataan Syed Hamid yang dilaporkan berkata, PN tidak dapat menubuhkan Majlis Presiden kerana Umno dan BN tidak menyokongnya.

“Macam mana mahu tubuhkan Majlis Presiden sedangkan Umno dan BN tidak menyokong PN? Ini kerajaan yang dipimpin oleh PN tapi orang Umno duduk makan gaji dalam kerajaan, naik kereta rasmi kerajaan, tetapi mimpi lain-lain.”

Syed Hamid juga berkata, ada dalam kalangan “ahli parti itu duduk dalam kerajaan, tapi satu kaki di sebelah sini dan satu lagi kaki di sebelah sana. Jadi dalam keadaan itu, mana ada nilai kolektif”.

Jazlan yang juga pengerusi Umno Kelantan, tidak menolak kritikan pemimpin Bersatu terhadap Umno sejak kebelakangan ini disebabkan parti itu memutuskan akan menarik sokongan kepada kerajaan PN dan tidak bersama dalam pilihan raya umum akan datang.

“Umno sudah umum akan tarik sokongan kepada kerajaan PN, hanya masa yang menentukan. Dia (Syed Hamid) kena ingat, kalau bukan kerana Umno menyokong, adakah mungkin kerajaan hari ini terbentuk.

“Umno berkorban dengan merelakan pemimpin mereka menjadi perdana menteri, sedangkan merekalah (Bersatu) kumpulan yang menjatuhkan, memfitnah dan menghasut dalam PRU14 lalu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.