Bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kerajaan harus mempercepat imunisasi semua pekerja yang berkaitan dengan pengangkutan bagi memastikan tiada gangguan pada rantaian bekalan.
“Pekerja lapangan terbang dan pelabuhan harus diberi keutamaan kerana mereka bekerja di kawasan berisiko tinggi,” katanya kepada FMT.
“Sudah tentu keutamaan utama adalah KLIA tetapi lapangan terbang lain juga penting, terutamanya di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching, hab-hab kargo utama kita.”
Loke berkata, kerajaan patut mencontohi Singapura yang bertindak pantas memberi vaksin kepada pekerja sektor penerbangan dan pengangkutannya sejak awal tahun ini.
Channel News Asia melaporkan bahawa kerajaan Singapura memulakan vaksinasi bagi sektor penerbangan dan maritimnya pada Januari dengan menyasarkan 37,000 petugas barisan hadapan dalam kedua-dua industri berkenaan.
Menurut satu laporan media bertarikh 16 Feb, pusat vaksinasi terbesar di Singapura pada masa itu ditubuhkan di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi dalam masa tujuh hari.
Sebanyak 36,500 pekerja penerbangan kemudian mendapat dos pertama vaksin Covid-19.
Loke mengulas gesaan oleh komuniti penerbangan negara agar anggotanya diberi vaksin.
Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airports Berhad Semenanjung (KESMA) menggesa kerajaan mengutamakan anggotanya dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Presidennya Hussin Shahar berkata, terdapat peningkatan mendadak jumlah jangkitan membabitkan pekerja KLIA kerana mereka belum mendapat suntikan vaksin walaupun selalu terdedah kepada virus.
Selain penumpang katanya, terdapat peningkatan pergerakan kargo dalam dan luar negara.
Petisyen dalam talian turut dimulakan di change.org oleh pengguna dengan nama “ninermike9M Malaysia” yang mendesak Kementerian Pengangkutan memberi keutamaan kepada imunisasi kakitangan industri penerbangan.
Menurut petisyen berkenaan, yang mendapat hampir 3,000 tandatangan setakat ini, pekerja dalam industri ini tidak dipertimbangkan menjadi antara penerima pertama ketika kerajaan melancarkan pemberian vaksin.
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dalam tindak balasnya minggu lalu berkata, nama penerima vaksin layak yang bekerja dalam industri logistik telah diserahkan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).
Antara yang tersenarai katanya, adalah pekerja penerbangan dan lapangan terbang yang berkhidmat di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Malaysia Airlines Berhad, AirAsia, Malindo Air dan pelabuhan serta pelaut di bawah kementeriannya.
Wee juga mengakui bahawa pekerja industri ini perlu diberi vaksin secepat mungkin bersama yang lain dalam industri pengangkutan.
Katanya, setakat 4 Jun seramai 1,725 (19%) daripada 9,340 kakitangan yang layak di bawah MAHB dan anak-anak syarikatnya telah diberi vaksin.
Bagaimanapun, dalam kenyataannya Hussin berkata, terdapat hampir 15,000 ahli KESMA yang berdepan risiko kerana bekerja di pintu masuk utama.
Dianggarkan bilangan ahli keluarga pekerja ini adalah sekitar 50,000 orang, tambahnya.
Beliau berkata, ramai ahli KESMA dari Pos Aviation dan syarikat lain dijangkiti virus itu sejak tiga bulan lalu kerana tidak ada program vaksinasi untuk pekerja KLIA Sepang.
Menurut TVNZ, penyiar milik negara di New Zealand, dua pekerja Air New Zealand diletakkan di bawah perintah kuarantin kendiri pada 3 Jun selepas berpotensi terdedah kepada virus daripada penerbangan kargo Malaysia Airlines yang tiba di Auckland beberapa hari sebelum itu.
Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Dr Ashley Bloomfield berkata, ahli kru dibawa ke fasiliti kuarantin selepas didapati bergejala sejurus tiba dan dikesan positif Covid-19. Ahli kru lain turut dipindahkan ke fasiliti kuarantin.
Bagaimanapun risiko jangkitan membabitkan pekerja Air New Zealand itu dianggap rendah kerana mereka memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dan tiada kontak fizikal terlibat.