
Pada Sabtu dan Ahad lalu, lima lelaki, termasuk dalang sindiket yang dikenali sebagai Hafiz, ditahan dalam dua serbuan yang dilakukan sepasukan polis selepas menerima maklumat mengenai kegiatan suspek yang menggunakan ejen untuk mengedar dadah di sekitar Melaka.
“Pada Sabtu lalu kira-kira 4 petang, polis telah menyerbu sebuah rumah di Kota Warisan dan menahan empat lelaki termasuk dalang sindiket berusia 29 tahun.
“Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam sindiket mengedar dan merekrut pengedar dadah di Melaka,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Zulkiflee Rashid menurut laporan Kosmo.
Susulan penahanan empat suspek berkenaan, polis menyerbu sebuah unit kondominium di Desa Park City, Kuala Lumpur pada 5.45 pagi Ahad lalu dan memberkas seorang lagi ahli kumpulan berusia 44 tahun.
“Dalam kedua-dua serbuan, kita telah merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios, Volkswagen Golf, wang tunai RM4,890, pelbagai jenis barang kemas dengan nilai keseluruhan RM302,630 yang dipercayai ada kaitan dengan kegiatan tersebut.
“Pada 7.21 malam kelmarin, kita telah pergi ke rumah ibu mentua Hafiz yang turut didiami isterinya di Tanjung Kling dan menyita sebuah kereta, motosikal serta barang kemas bernilai RM38,308,” kata Zulkiflee.
Zulkiflee berkata, saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine dan mempunyai 10 hingga 14 rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama, tambahnya.
Sindiket yang aktif sejak setahun lalu itu dipercayai merekrut seramai 10 orang ejen baharu yang dijanjikan upah lumayan sehingga RM2,000 bagi setiap kilogram dadah yang diedar.
Kegiatan itu terbongkar setelah seorang ejen ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Ayer Keroh Rabu lalu.
Zulkiflee berkata, sindiket berkenaan yang turut aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang juga membekalkan dadah kepada ejennya.
Modus operandi geng tersebut adalah dengan kerap bertukar lokasi rumah sewaan termasuk di Kuala Lumpur dan Selangor bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa, katanya.