Malaysia kalahkan Thailand, berpeluang ke Piala Asia 2023

Malaysia kalahkan Thailand, berpeluang ke Piala Asia 2023

Kejayaan membenam Thailand membolehkan Malaysia merampas kedudukan ketiga Kumpulan G daripada skuad Gajah Perang itu dan melangkah secara automatik ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

Kemenangan ke atas Thailand menyaksikan Malaysia menamatkan kempen kelayakan pada kedudukan ketiga Kumpulan G dengan mengumpul 12 mata di belakang juara UAE. (Gambar Facebook FAMalaysiaOfficial)
PETALING JAYA:
Selepas kalah berturut-turut, harapan Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 terus menyala selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan G dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi ini.

Pemain sayap kanan Muhammad Safawi Rasid menjaringkan gol kemenangan skuad Harimau Malaya di Stadium Al Maktoum menerusi sepakan penalti pada babak kedua perlawanan, membantu pasukan mencatat kemenangan kedua ke atas skuad bimbingan Akira Nishino pada kempen itu.

Kejayaan membenam Thailand membolehkan Malaysia merampas kedudukan ketiga Kumpulan G daripada skuad Gajah Perang itu dan melangkah secara automatik ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

Keputusan itu turut menyaksikan ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe meraih kemenangan keduanya ke atas Thailand, selain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat pertemuan kedua-dua pasukan sejak mula menggalas tugas pada Disember 2017.

Pada perlawanan ‘hidup mati’ itu, kedua-dua pasukan yang memburu kemenangan pertama sejak kempen kelayakan tersebut bersambung melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama masing-masing sebagai menyuntik nafas baharu dalam pasukan bagi memburu tiga mata berharga.

Sementara itu dalam satu lagi aksi Kumpulan G menyaksikan UAE menamatkan rekod tanpa kalah tujuh perlawanan dalam kempen kelayakan dengan kemenangan 3-2 ke atas Vietnam di Stadium Zabeel.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen kelayakan pada kedudukan ketiga Kumpulan G dengan mengumpul 12 mata di belakang juara UAE (18 mata) diikuti Vietnam (17 mata) sementara Thailand keempat (sembilan mata) dan Indonesia tercorot dengan mengutip satu mata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.