Mahkamah putuskan kematian Nora Anne bukan akibat nahas

Mahkamah putuskan kematian Nora Anne bukan akibat nahas

Dalam penghakiman, Hakim Azizul Azmi Adnan berkata 'keputusan bahawa kematian mangsa adalah akibat nahas atau peristiwa malang sepatutnya dibatalkan demi kepentingan keadilan dan digantikan dengan keputusan terbuka'.

Nora Anne dilaporkan hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas tiba di Malaysia bersama keluarganya untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Seremban hari ini, memutuskan kematian remaja perempuan Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin, dua tahun lalu, bukan disebabkan oleh peristiwa malang atau nahas (misadventure), sebaliknya menggantikannya dengan keputusan terbuka.

Hakim Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu menerusi prosiding dalam talian menerusi laman rasmi Badan Kehakiman Malaysia di YouTube, seterusnya menggantikan keputusan Mahkamah Koroner sebelum ini, lapor Bernama.

Susulan itu, dalam penghakiman hari ini, Azizul berkata “keputusan bahawa kematian mangsa adalah akibat nahas atau peristiwa malang sepatutnya dibatalkan demi kepentingan keadilan dan digantikan dengan keputusan terbuka.”

Beliau berkata, kemungkinan ada penglibatan pihak ketiga lebih rendah berbanding kemungkinan bahawa Nora Anne entah bagaimana telah menyebabkan dirinya berada dalam satu situasi di mana dia tidak dapat melepaskan diri.

Keputusan terbuka bermaksud cara atau punca kematian mangsa tidak dapat ditentukan.

Peguam Louis Azmi, yang mewakili keluarga Nora Anne Quoirin, berkata anak guamnya gembira dengan keputusan itu.

Koroner Maimoonah Aid pada 4 Januari lalu memutuskan tiada sesiapa terlibat dalam kematian remaja berusia 15 tahun itu, seterusnya menyifatkannya satu “misadventure”.

Seramai 48 saksi termasuk ibu bapa remaja itu, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin memberi keterangan dalam inkues yang bermula pada 24 Ogos tahun lalu itu.

Nora Anne dilaporkan hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas tiba di Malaysia bersama keluarganya untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Mayatnya ditemui berhampiran gaung kira-kira 2.5km dari resort itu, 10 hari kemudian.

Laporan bedah siasat awal mendapati kematian remaja kurang upaya itu tiada unsur jenayah, dan dia disahkan maut akibat pendarahan gastrousus akibat kebuluran dan tekanan berpanjangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.