Klinik swasta diserbu beri Ivermectin belum dilulus untuk cegah Covid-19

Klinik swasta diserbu beri Ivermectin belum dilulus untuk cegah Covid-19

Dr Amir Farid Isahak menjelaskan kadar vaksinasi terlalu perlahan menyebabkan beliau memutuskan untuk menggunakan ubat antiparasit itu, mendakwa ia selamat.

PETALING JAYA:
Seorang doktor mengesahkan klinik swastanya diserbu Kementerian Kesihatan (KKM) semalam kerana membekalkan ubat antiparasit, Ivermectin kepada orang awam bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Pada 16 Mei, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, KKM belum meluluskan penggunaan ubat Ivermectin untuk mencegah atau merawat Covid-19 kerana tiada kajian saintifik untuk membuktikan keberkesanannya.

Dr Amir Farid Isahak mengesahkan kliniknya di Kuala Lumpur diserbu pihak berkuasa namun enggan mengulas lanjut atas nasihat peguamnya.

“Kenyataan itu memang saya buat tetapi peguam saya sudah nasihatkan supaya tidak buat sebarang kenyataan ketika ini,” katanya kepada FMT.

Dalam kenyataan semalam, beliau menjelaskan kadar vaksinasi terlalu perlahan menyebabkan selaku doktor beliau membuat keputusan untuk menggunakan ubat berkenaan dan mendakwa ia selamat.

“Saya terima 58 kajian saintifik yang dijalankan setakat ini menunjukkan keberkesanannya mengurangkan jangkitan dan kesan yang teruk akibat Covid-19.

“Oleh itu saya bertindak menurut apa yang saya percaya dan berusaha menyelamatkan nyawa,” katanya yang sedar keputusannya itu salah dan akan sampai ke pengetahuan KKM.

Bagaimanapun beliau berkata, menyelamatkan nyawa manusia adalah keutamaan ketika ini berbanding takut kepada tindakan undang-undang.

“Saya sedia untuk berdepan akibatnya,” katanya.

FMT sedang mendapatkan respons Noor Hisham mengenai perkara berkenaan.

Awal Jun lalu, KKM bersama Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan serta keberkesanan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital kerajaan.

Noor Hisham dilaporkan berkata, Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) serta digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika terabai, termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases, namun belum ada bukti konklusif untuk mengesyorkan penggunaan Ivermectin bagi merawat Covid-19.

Penggunaan “off-label” Ivermectin meraih perhatian masyarakat antarabangsa susulan beberapa kajian kes dan ujian klinikal menunjukkan keputusan yang baik dalam merawat Covid-19.

Bagaimanapun FDA tidak meluluskan penggunaan Ivermectin bagi merawat dan mencegah Covid-19 pada manusia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya mengesyorkan penggunaannya dalam ujian klinikal dengan pesakit perlu dipantau doktor pakar dan penyelidik berpengalaman untuk menjamin keselamatan serta keberkesanannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.