Industri pelancongan tidak dapat bertahan sehingga hujung tahun, kerajaan diberitahu

Industri pelancongan tidak dapat bertahan sehingga hujung tahun, kerajaan diberitahu

Para pemegang taruh berkata, kebanyakan perniagaan telah terjejas teruk ketika PKP 3.0, dan berkemungkinan untuk tutup tanpa bantuan lanjutan daripada kerajaan.

PETALING JAYA:
Pemegang taruh dalam industri pelancongan berkata, sukar bagi mereka untuk meneruskan operasi hingga akhir Oktober sewaktu pelancongan domestik dijangka akan bermula kembali di bawah fasa terakhir pelan pemulihan negara.

Setiausaha Agung Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Nigel Wong memberitahu FMT bahawa memulakan kembali pelancongan tempatan lewat tahun ini akan lebih merugikan industri berkenaan yang kini sudah tenat.

Katanya, beberapa anggota MATTA berjaya mempelbagaikan perniagaan mereka sejak wabak Covid-19 melanda namun kerenah birokrasi dan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak konsisten semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 menimbulkan kesulitan lanjut kepada banyak pihak.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membenarkan agensi pelancongan berlesen untuk menceburkan diri dalam perniagaan lain agar dapat bertahan.

“Banyak yang mula beralih kepada penghantaran, logistik dan lain-lain perniagaan tetapi mereka tidak mendapat kelulusan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) untuk beroperasi kerana masih berdaftar sebagai agensi pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, panggilan dibuat kepada pelbagai agensi untuk menyelesaikan isu tersebut, termasuk kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun tidak diendahkan.

Sementara itu Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) tetap menaruh harapan memandangkan kerajaan telah menyusun “roadmap” berdasarkan data dan sains bagi membolehkan industri pelancongan merancang pemulihannya.

Namun katanya, aktiviti pelancongan dan perjalanan merentas negeri paling awal akan dimulakan semula hanya dalam beberapa bulan lagi.

“Pemegang taruh akan berhujah bahawa isunya bukan mengenai kesabaran tetapi kelangsungan hidup,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

“Setelah mengalami kerugian selama lebih setahun, kami tidak akan dapat bertahan selama enam bulan lagi dan ini mungkin akan mengakibatkan lebih banyak hotel ditutup dan lebih ramai kehilangan pekerjaan jika tiada bantuan tambahan daripada kerajaan.”

MAH berkata, industri itu memerlukan bantuan kewangan yang lebih disasarkan terutamanya bagi bil utiliti dan kelonggaran pembayaran berkanun seperti lesen dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bank juga harus membenarkan moratorium tanpa faedah, tambahnya.

“Sektor pelancongan dan hotel khususnya memerlukan subsidi gaji yang berlanjutan sekurang-kurangnya hingga akhir tahun ini dan (kami) masih berharap kadar lebih tinggi sebanyak 50% bagi mereka yang berpendapatan hingga RM4,000 dan 30% bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 ke atas sehingga maksimum RM8,000 sebulan,” katanya.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia Emmy Suraya Hussein berkata, hotel bajet terjejas teruk sebelum penguatkuasaan PKP 3.0 susulan larangan perjalanan merentas daerah.

“MKN (Majlis Keselamatan Negara) hanya membenarkan hotel kuarantin beroperasi tetapi berapa ramai antara kita yang termasuk dalam senarai itu?

“Banyak yang lain ditutup sementara dan saya meramalkan ini akan berterusan hingga Oktober,” katanya.

Emmy menggesa agar diskaun bil elektrik diberikan pada kadar lebih tinggi dengan berkata, diskaun semasa sebanyak 10% tidak cukup untuk mengurangkan beban kos operasi hotel bajet.

Tambahnya, banyak hotel bajet belum menerima subsidi daripada Program Subsidi Gaji 2.0 yang diumumkan di bawah pakej Kita Prihatin September lalu.

Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan menyasarkan semua sektor ekonomi dibuka kembali pada Disember berdasarkan strategi keluar wabak Covid-19.

Ini akan melibatkan empat fasa dengan perjumpaan sosial, perjalanan merentas sempadan dan pelancongan domestik dibenarkan dalam fasa terakhir pada Oktober.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.