8 lelaki dikompaun berlatih silat

8 lelaki dikompaun berlatih silat

Mereka dikompaun RM1,500 setiap seorang kerana tidak mematuhi peraturan prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudi Abdul Hamid berkata, ketika pemeriksaan dilakukan terdapat sekumpulan individu sedang menjalani latihan silat. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Lapan lelaki yang menjalani latihan silat di sebuah rumah di Bandar Utama di sini, tengah malam tadi dikompaun RM1,500 setiap seorang kerana tidak mematuhi peraturan prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pemeriksaan pada 12.10 tengah malam itu, sepasukan polis memeriksa kediaman terbabit selepas menerima aduan awam.

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudi Abdul Hamid berkata, ketika pemeriksaan dilakukan terdapat sekumpulan individu sedang menjalani latihan silat.

“Mereka didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

“Polis mengeluarkan kompaun kepada setiap individu berusia 26 hingga 51 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut Peraturan 17(1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.

“Masyarakat diminta mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan daripada dikompaun, ditangkap dan seterusnya didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.