2 lelaki Indonesia dipenjara, langgar PKP kerja di pusat snuker

2 lelaki Indonesia dipenjara, langgar PKP kerja di pusat snuker

Mahkamah perintah kedua-dua tertuduh jalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 30 Mei.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu ke atas Vinoris Mendonca Amaral, 27, dan rakannya Yuvanalis Manek, 26, selepas mereka mengaku bersalah gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Dua lelaki warga Indonesia dipenjara 20 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan bekerja di sebuah pusat snuker.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu ke atas Vinoris Mendonca Amaral, 27, dan rakannya Yuvanalis Manek, 26, selepas mereka mengaku bersalah gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengambil langkah bagi maksud mencegah dan mengawal apa-apa penyakit berjangkit dengan bekerja di sebuah pusat snuker di Damansara Jaya di sini pada jam 4 petang, 30 Mei lalu.

Mereka didakwa telah melanggar Peraturan 9, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) peraturan sama yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 30 Mei.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mereka menanggung keluarga di Indonesia, namun timbalan pendakwa raya Zamriah Zarifah Aris memohon hukuman setimpal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.