
“Anak buah tengah online PDPR menggunakan telefon…, tiba-tiba terbakar, baru sahaja dapat tidak sampai satu bulan, sedih rasanya,” menurut perkongsian bekas menteri belia dan sukan itu.
PDPR merujuk kepada sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diamalkan ketika ini kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Belanja lebih sedikit untuk pendidikan pelajar,” kata Syed Saddiq mengulas isu pembekalan telefon pintar kepada pelajar yang dipertikaikan kualitinya.
Beliau mendakwa, kerajaan sengaja memberikan telefon pintar berkualiti rendah kepada pelajar kerana beranggapan mereka akan menggunakannya bagi tujuan lain seperti bermain permainan video.
“Bagi telefon kualiti rendah sebab buruk sangka dengan pelajar kononnya mahu elak mereka main ‘game’. Akhirnya, telefon rosak. Yang susah, pelajar.
“Belanjalah lebih sedikit untuk pendidikan mereka. Kerajaan ada wang. Guna untuk pelajar,” katanya di Twitter.
Sebelum ini, Syed Saddiq dilaporkan menggesa kerajaan mengutamakan aspek kualiti kerana pelajar akan menggunakan aplikasi yang memerlukan ruang peranti besar untuk melaksanakan sesi PdPR.
Terdahulu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud memaklumkan bahawa pengedaran 20,000 telefon pintar kepada pelajar dari keluarga B40 bagi program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) adalah dikhususkan untuk pembelajaran semata-mata.
Beliau berkata, tindakan itu dapat mengelakkan pelajar daripada penyalahgunaan peranti terbabit bagi tujuan seperti bermain permainan video.