
Presidennya Dr Wong Teck Wee berkata, undang-undang sedia ada seperti Akta Keganasan Rumah Tangga hanya menawarkan penyelesaian bagi penderaan fizikal dan seksual terhadap warga emas dan ini tidak mencukupi.
Katanya, warga emas terdedah kepada penderaan psikologi, emosi dan kewangan bahkan pengabaian yang kurang jelas dilihat berbanding penderaan fizikal dan seksual.
Wong berkata, negara ini tidak mempunyai undang-undang yang berpusat pada warga emas khususnya, sambil menyatakan, Akta Pusat Jagaan seperti namanya, hanya boleh diguna pakai bagi warga emas yang tinggal di pusat jagaan.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerbitkan sebuah koleksi kajian yang mendapati bahawa kelaziman penderaan dan pengabaian warga emas adalah sekitar 15.7%. Ini bermaksud kira-kira satu daripada tujuh warga emas mengalami beberapa bentuk penderaan.
“Di Malaysia terdapat beberapa penerbitan dengan satu menyatakan bahawa dalam komuniti luar bandar, satu daripada 20 warga emas didera tetapi di kawasan bandar, satu daripada 10. Masalahnya laporan itu tidak begitu telus. Banyak penderaan warga tua tidak dilaporkan.
“Menurut beberapa konsensus dan perkiraan kasar, dikatakan bahawa bagi setiap kes yang dilaporkan antara lima hingga 10 kes tidak dilaporkan,” katanya kepada FMT, sempena Hari Kesedaran Penderaan Warga Emas Sedunia hari ini.
Beliau berkata, satu sebab penderaan warga emas tidak dilaporkan adalah petugas kesihatan mungkin tidak dilatih untuk mengesan penderaan.
Sebab lain adalah saudara-mara mungkin mengelak daripada melaporkan kejadian bagi menjaga nama baik keluarga.
“Rumah jagaan berisiko kehilangan lesen dan berdepan masalah undang-undang, jadi beberapa kes mungkin disembunyikan. Ia bukan perkara asing di Malaysia,” katanya.
Pengabaian terutamanya menjadi kelaziman dan boleh dikesan jika warga emas kelihatan kekurangan zat makanan, kurang hidrasi, berpakaian tidak kemas atau tidak bersih.
Katanya, ada juga kes rumah jagaan yang memberikan ubat tidur kepada penghuninya untuk memastikan mereka tidur lama.
“Mereka tidak perlu menjaga warga emas ketika mereka tidak bergerak ke mana-mana.”
Wong berkata, perlu ada kesedaran lebih tinggi mengenai penderaan warga emas dalam komuniti. Ini supaya masyarakat menjadi lebih peka terhadap kemungkinan kes yang berlaku dalam komuniti mereka dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Kerajaan juga boleh menubuhkan agensi khas untuk mengendalikan kes sebegini katanya, sambil menambah pada masa ini kes penderaan warga emas dikendalikan oleh pekerja sosial di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).