Pengerusi JK Bebas Darurat tiba di Istana Negara

Pengerusi JK Bebas Darurat tiba di Istana Negara

Selain Arifin Zakaria, turut dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini ialah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA:
Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 Arifin Zakaria tiba di Istana Negara pada jam 9.45 pagi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Memetik laporan Astro Awani, bekas ketua hakim negara itu dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara dengan menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam.

Sesi menghadap tersebut berlangsung selepas siri sembah maklum oleh 15 wakil ketua parti pada 9 Jun hingga 11 Jun sebelum berakhir semalam.

Sesi menghadap itu dipercayai bertujuan membincangkan keadaan darurat dan langkah-langkah memerangi pandemik Covid-19.

Selain Arifin, turut dijadual menghadap Sultan Abdullah hari ini ialah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Jawatankuasa dipengerusikan oleh Arifin itu dianggotai pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.