
Pengerusinya Maszlee Malik berkata, sebanyak lebih 100 hari persekolahan “hilang” tahun lepas dan ditambah lagi pada tahun ini.
“Kementerian Pendidikan perlu menyatakan pelannya untuk memperbaiki keadaan dan juga memulihkan murid-murid cicir ini,” katanya dalam kenyataan.
JKPPH juga mahu melihat peratus kehadiran murid dalam kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk melihat keberkesanan program itu dan kehadiran sewaktu sekolah dibuka sementara sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.
“Sehingga kini banyak isu yang ditimbulkan kepada kementerian tetapi tidak pernah mendapat respons dan jawapan,” katanya.
JKPPH menggesa kementerian berbincang dan bekerjasama dengan pakar, profesional, ahli akademi dan wakil guru dan ibu bapa bagi menambahbaik PdPR setelah setahun dijalankan.
“Isu-isu pendidikan sewaktu pandemik dan sewaktu PdPR dijalankan jauh daripada selesai,” katanya.
“Kementerian perlu menjadi pemudah cara untuk menggembleng tenaga semua.”
Bagi tujuan itu, selain perkongsian data, JKPPH menggesa penubuhan sebuah majlis tindakan yang dianggotai pakar, profesional, ahli akademi dan wakil guru dan ibu bapa untuk merangka satu pelan bersepadu pendidikan.
“Hal ini telah berkali-kali dibawa oleh pelbagai pihak namun dipandang sepi oleh kerajaan,” katanya.
Kementerian juga digesa mewujudkan laman web rujukan yang mengandungi bahan pengajaran, modul dan latihan yang boleh digunakan untuk PdPR bagi membantu guru dan ibu bapa.
“Selain daripada guru, ibu bapa yang secara tidak langsung menjadi guru di rumah tatkala PdPR berlangsung memerlukan bimbingan, bahan sokongan dan juga panduan untuk membimbing anak-anak,” katanya.
JKPPH juga menggesa Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan agensi lain memperbanyakkan lagi siaraya, mesej video tular dan rancangan di televisyen untuk membimbing ibu bapa sepanjang PdPR.