
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadli Shamsuddin, berkata, selain pemimpin parti politik Sultan Abdullah turut berkenan menerima menghadap pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Arifin Zakaria.
“Dalam sesi-sesi menghadap para pemimpin parti politik, Seri Paduka Baginda telah “berkenan mendengar pandangan-pandangan mereka tentang pelbagai isu.
“Perlu diperjelaskan di sini bahawa sesi-sesi menghadap para pemimpin parti politik adalah atas inisiatif serta keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda dan berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh darurat,” katanya dalam kenyataan.
Susulan sesi menghadap itu pandangan yang dikemukakan oleh pemimpin parti politik akan diwasilkan pada perbincangan khas Raja-raja Melayu esok yang akan bermula pada 2.30 petang.
Beberapa pakar dari beberapa agensi kerajaan turut dijadualkan memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik, dan ekonomi negara pada perbincangan khas itu esok.