Usah salahkan pemimpin Umno atas kesilapan menteri, Razlan beritahu Syed Hamid

Usah salahkan pemimpin Umno atas kesilapan menteri, Razlan beritahu Syed Hamid

Ahli MKT Umno itu berkata, walaupun mempunyai wakil dalam kerajaan, pemimpin Umno mengkritik Putrajaya kerana ingin membetulkan kelemahan demi kebaikan rakyat, bukannya untuk berpolitik.

PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii berkata, pemimpin parti itu yang mengkritik kerajaan tidak patut dipersalahkan atas kesilapan menteri dan Jemaah Menteri yang tidak berfungsi.

Beliau berkata, data menunjukkan selepas enam bulan pelaksanaan perintah darurat, kerajaan gagal menjaga nyawa dan keselamatan rakyat.

Katanya, kritikan pemimpin Umno terhadap beberapa menteri disebabkan mereka gagal berfungsi dengan baik dalam menjaga kebajikan dan nyawa rakyat dalam mendepani penularan wabak Covid-19.

Walaupun mempunyai wakil dalam kerajaan beliau berkata, pemimpin Umno mengkritik Putrajaya kerana ingin membetulkan kelemahan demi kebaikan rakyat, bukannya untuk berpolitik.

“Jadi, perkara ini kita tak boleh tutup, apabila kita (pemimpin Umno) menegur, itu bukan bermaksud kita bermain politik, menegur adalah untuk kebaikan perdana menteri dengan terbuka menerima dan membetulkan kesilapan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian selepas pemimpin Bersatu, Syed Hamid Albar dilaporkan berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak dapat menubuhkan Majlis Presiden kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak menyokongnya.

“Macam mana mahu tubuhkan Majlis Presiden sedangkan Umno dan BN tidak menyokong PN? Ini kerajaan yang dipimpin oleh PN, tapi orang Umno duduk makan gaji dalam kerajaan, naik kereta rasmi kerajaan, tetapi mimpi lain-lain,” kata bekas menteri luar itu semalam.

Razlan berkata, terdapat perbezaan antara menjaga politik dengan bermain politik dan tindakan menegur itu demi menjaga politik, tidak kira apa kesilapannya.

“Contohnya, menteri dalam negeri sepatutnya menjaga ruang sempadan negara, negeri dan daerah tetapi bagaimana virus dari Afrika dan lain-lain boleh masuk ke Malaysia?

“Sudah tentu ruang sempadan negara terbuka. Kalau menteri bertindak dengan cara betul, pentingkan rakyat, fokus kepada kerja harian berkenaan permasalahan rakyat, bukan tertumpu kepada politik, masalah ini tidak timbul.

“Kedua, siapakah yang jaga kementerian yang membenarkan kilang beroperasi sepanjang PKP? Ia di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Bagaimana kilang arak dibenar operasi walaupun Majlis Keselamatan Negara putuskan sektor ekonomi perlu sahaja dibenarkan operasi, tapi kilang-kilang yang tidak perlu dibenar operasi menyebabkan kes masih banyak,” katanya.

Beliau turut menegur Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun serta Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Latiff Ahmad dari Bersatu yang tidak cekap menggerakkan jentera kementerian untuk membantu kerajaan mempercepatkan pendaftaran vaksin sejak awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.