
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ubat Ravidasvir yang mampu milik dan berkesan hampir 100% apabila digunakan bersama Sofosbuvir dijangka akan tersedia pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.
“Akan ambil masa beberapa bulan bagi kita memperoleh Ravidasvir yang telah mendapat kelulusan bersyarat,” katanya.
Malaysia adalah negara pertama yang meluluskan penggunaannya.
Noor Hisham berkata, penghapusan berterusan rawatan berpusat Hepatitis C yang berjalan sejak 2018 akan mampu menghindari kes kanser hati, kegagalan hati dan sirosis hati pada masa hadapan boleh menyelamatkan nyawa dan menjimatkan kos.
Beliau bercakap pada sidang media mengenai kelulusan ubat berkenaan yang dianjurkan oleh Inisiatif bagi Ubat untuk Penyakit Diabaikan (DNDi).
Ahli panel lain termasuk Ketua Perkhidmatan Klinikal Gastroenterologi dan Hepatologi Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Muhammad Radzi Abu Hassan; Ketua Eksekutif Pharco Corporation Dr Sherine Helmy; Pengarah Urusan Pengawalseliaan Pharmaniaga Sharifah Fauziyah Syed Mohthar; pengarah pejabat wilayah DNDi Asia Tenggara Jean-Michel Piedagnel dan pengarah Third World Network Chee Yoke Ling.
Kata Noor Hisham, fokus nyahpusat dan peningkatan saringan untuk mengesan pesakit yang sebelum ini tidak dapat dikesan melalui pengujian diagnostik yang lebih mudah akan memastikan negara dapat mencapai matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghapuskan virus berkenaan menjelang 2030.
Para ahli panel menekankan bahawa ini adalah kali pertama rawatan menggunakan ubat mampu milik yang boleh menyembuhkan dan menghapuskan Hepatitis C bagi pesakit dibangunkan.
Ubat ini turut dikembangkan melalui inisiatif Selatan-Selatan, antara pengeluar ubat Mesir Pharco Pharmaceuticals dan Malaysia melalui KKM dan Pharmaniaga dengan sokongan badan bukan kerajaan seperti DNDi dan Médecins Sans Frontières (MSF).
Ahli panel bersetuju bahawa rawatan barisan pertama sebelumnya, Daclatasvir yang digunakan dalam kombinasi dengan Sofosbuvir, lebih mahal dan kurang berkesan (keberkesanan 86%).
Oleh itu menurut mereka, perkembangan baharu ini akan dapat mengatasi kekurangan rawatan mampu milik bagi penyakit ini dan beralih daripada monopoli lazim oleh Big Pharma dan negara-negara Barat dalam penyelidikan dan pembangunan ubat-ubatan.
Ubat ini datang dalam bentuk tablet Ravida 200mg dan digunakan dalam kombinasi dengan Sofosbuvir bagi tempoh tiga bulan atau lebih, bergantung kepada tahap keseriusan pesakit. Terapi kombo berharga RM410 bagi tempoh tiga bulan rawatan.
Ujian klinikal yang ditaja KKM dan kementerian kesihatan Thailand dalam kalangan pesakit Hepatitis C di kedua-dua negara menunjukkan keberkesanan 97% dalam menyembuhkan hati tanpa sirosis dan 96% untuk hati bersirosis bagi 600 pesakit.
Virus ini boleh menyebabkan penyakit hati kronik, sirosis, barah dan kematian dengan sekitar 58 juta orang terkesan di seluruh dunia. Hanya sekitar 13% menerima rawatan setakat ini.
Penyakit ini mengakibatkan sekitar 300,000 kematian setahun.