Putrajaya digesa cari pakar, sumber tubuh pusat penyelidikan vaksin

Putrajaya digesa cari pakar, sumber tubuh pusat penyelidikan vaksin

MEF berkata, negara mempunyai kemudahan akademik, penyelidikan saintifik dan pakar tempatan, selain diiktiraf di peringkat global kerana pernah menghasilkan vaksin bagi virus Nipah.

Negara perlu menubuhkan pusat penyelidikan vaksin khusus sebagai prospek jangka panjang dalam menghasilkan vaksin sendiri, kata MEF.
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan agar mencari pakar dan sumber tempatan bagi menangani isu bekalan serta keberkesanan vaksin dalam jangka panjang melalui penubuhan pusat penyelidikan vaksin nasional.

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata, kerajaan melakukan usaha baik dengan menubuhkan banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dalam bentuk mega atau unit bergerak, selain melibatkan klinik serta hospital swasta bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta menggerakkan kor perubatan angkatan tentera.

“Bagaimanapun ketika kita merancang infrastruktur logistik dan pusat vaksin, perlu ada strategi menyeluruh bagi bekalan vaksin.

“Berdasarkan situasi itu dan matlamat untuk menjaga kesihatan serta keselamatan rakyat daripada Covid-19 dan pandemik serupa pada masa akan datang, adalah penting untuk menubuhkan pusat penyelidikan vaksin nasional berasaskan kepakaran dan sumber tempatan,” katanya dipetik Bernama dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Malaysia perlu menubuhkan pusat penyelidikan vaksin khusus sebagai prospek jangka panjang dalam menghasilkan vaksin sendiri.

“Malaysia memiliki kemudahan akademik serta penyelidikan saintifik dan pakar tempatan, kita juga diiktiraf di peringkat global kerana menghasilkan vaksin bagi virus Nipah, selain menangani SARS, H1N1 dan penyakit lain sebelum ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.