
Portal yang dikenali sebagai ASTI STEM Academy (ASA) itu dilancarkan hari ini dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil, dengan Free Malaysia Today (FMT) menjadi rakan media rasminya.
Murid Tahun Satu hingga Enam boleh mengukur kemajuan pelajaran mereka melalui penilaian kendiri dalam portal itu, terutamanya melalui kuiz sains atau matematik bulanan.
Portal ASA adalah inisiatif pertama di bawah rancangan pemulihan dua tahun ASTI untuk membantu murid-murid menebus masa yang hilang akibat penutupan sekolah yang kerap tahun lalu.

Presiden ASTI Mohamed Yunus Yasin berkata, ASA bertujuan memberi petunjuk kepada pelajar mengenai tahap pemahaman mereka dalam subjek tertentu bagi membolehkan mereka mengambil “tindakan sewajarnya untuk memperbaiki diri”.
“Kami faham sesetengah pelajar dan ibu bapa mungkin tidak mempunyai penilaian tetap yang tersedia untuk mereka dan (kami) percaya ini adalah salah satu alasan kenapa mereka dilihat ketinggalan dalam topik tertentu,” katanya.
“Kami harap masalah ini dapat ditangani segera melalui pelaksanaan portal ASA.”
Tambahnya, hasil daripada kuiz juga boleh digunakan pelajar, guru atau ibu bapa untuk menyusun strategi bagi pendekatan pembelajaran mereka.
Yunus berkata, ciri penilaian kendiri dimasukkan untuk membolehkan masyarakat bersikap jujur dan bertanggungjawab berhubung masa depan mereka.
“Tiada penipuan di sini. Kepercayaan adalah relevan dalam setiap perkara yang kita lakukan dan ini termasuk cara penilaian standard dilakukan.”

Walaupun terdapat inisiatif segera untuk mengurangkan impak wabak Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar berkata, telah tiba masanya untuk memulakan perancangan jangka panjang.
Media massa di negara ini harus terbabit dalam pemulihan selepas wabak, khasnya dari segi pendidikan.
Beliau berkata, FMT mempunyai tanggungjawab dalam menggunakan jangkauannya bagi memaklumkan orang ramai mengenai program ASA untuk manfaat seramai mungkin pelajar.
“Disebabkan sekolah ditutup, media tempatan perlu tampil menjadi perantara bagi menghubungkan pelajar terjejas dengan alat yang ada bagi membantu mereka kembali ke landasan,” kata Azeem.
Portal ASA disediakan secara percuma sepanjang tahun dan kuiz baharu akan dimuat naik setiap bulan.
Pendaftaran boleh dibuat di www.astistemacademy.com dan sebarang pertanyaan boleh dihantar ke [email protected] atau Whatsapp 014-7124217.
