Petugas kesihatan Semporna cekal pastikan vaksin diterima penduduk

Petugas kesihatan Semporna cekal pastikan vaksin diterima penduduk

Pegawai Kesihatan Daerah Semporna berkata, meskipun sambutan penduduk di Pulau Bum Bum ini agak dingin, namun ia tidak menjejaskan semangat petugas kesihatan.

Bagi kakitangan kesihatan Semporna, usaha meyakinkan penduduk Pulau Bum Bum dan penduduk di 27 buah pulau lain di daerah itu agar bersetuju divaksin perlu diteruskan sehingga kempen imunisasi di daerah itu berjaya. (Gambar Bernama)
SEMPORNA:
Seramai 500 individu mengisi borang daftar vaksinasi Covid-19 yang diedarkan pasukan khas Promosi Kesihatan, Pejabat Kesihatan Daerah Semporna di kampung-kampung di Pulau Bum Bum, baru-baru ini.

Bagaimanapun daripada jumlah itu, hanya 200 bersetuju untuk divaksin manakala selebihnya menolak dengan alasan takut divaksin.

Persoalannya apakah punca penduduk di pulau yang didiami kira-kira 30,000 penduduk itu enggan menerima vaksin?

Menurut ketua Kampung Balimbang, Nasir Abu Bakar, 49, ramai penduduk kampung terpengaruh dengan maklumat negatif mengenai vaksin yang kononnya boleh menyebabkan maut, lumpuh atau strok yang diperolehi melalui khabar angin mahupun media sosial.

“Sebab itu apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan untuk vaksinasi, saya mahu ambil suntikan dahulu…supaya saya boleh kongsi pengalaman dengan orang kampung.

“Saya dan isteri serta tiga anak yang berumur 19 hingga 24 tahun sudah menerima vaksin. Biar jadi bukti bahawa vaksin Covid-19 selamat diambil dan langkah terbaik untuk perlindungan diri,” katanya yang menerima vaksin Sinovac pada 8 Jun.

Dalam pada itu Nasir berkata, usaha beliau membantu KKM memberi penjelasan kepada penduduk kampungnya akan diteruskan dan sehingga kini sudah ada penduduk kampung itu mula faham mengenai kebaikan vaksin.

“Saya dah dapat mengumpulkan lebih kurang 80 penduduk yang mahu mengambil vaksin.

“Sekiranya ada pusat pemberian vaksin (PPV) mudah alih, ia akan dapat mengurangkan beban kos perjalanan yang ditanggung penduduk,” katanya.

Sementara itu, bagi kakitangan kesihatan Semporna khususnya pasukan khas Promosi Kesihatan, usaha meyakinkan penduduk Pulau Bum Bum dan penduduk di 27 buah pulau lain di daerah itu agar bersetuju divaksin perlu diteruskan sehingga kempen imunisasi di daerah itu berjaya.

Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, meskipun sambutan penduduk di Pulau Bum Bum agak dingin, namun ia tidak menjejaskan semangat petugas kesihatan, malah gerak kerja tetap diteruskan bagi menimbulkan kesedaran penduduk mengenai kepentingan mendapatkan suntikan vaksin.

“Kita minta bantuan ketua kampung beri penjelasan mengenai vaksin Covid-19 ini dan apabila kita dapat capai mungkin 80% penduduk kampung bersetuju untuk vaksinasi, baru kita ke kampung di pulau terbabit untuk berikan suntikan vaksin,” katanya, sambil menambah bahawa perancangan secara efisien penting memandangkan keadaan geografi pulau terbabit dan sensitiviti vaksin Covid-19.

Dalam pada itu Shameer berkata, proses vaksinasi ketika ini tertumpu kepada penduduk tanah besar Semporna dan pendekatan petugas kesihatan “masuk kampung terus vaksin” menunjukkan sambutan menggalakkan dan kaedah ini dilihat dapat membina keyakinan penduduk.

“Apabila mereka nampak penduduk sihat selepas terima vaksin, maka penduduk lain pun mahu … ini terjadi misalnya dalam program ‘outreach’ di Kampung Bugaya, di mana dalam tempoh lima jam, seramai 300 penduduk divaksin sedangkan 60% daripada mereka tidak mendaftar melalui MySejahtera,” katanya.

Selain itu menurutnya, pendekatan masuk ke kampung dilihat dapat mengatasi masalah pendaftaran vaksinasi kerana tidak semua kawasan di Semporna mempunyai liputan internet, selain ada penduduk tidak mampu memiliki telefon mudah alih.

Katanya, setakat ini jumlah penduduk Semporna yang mendaftar untuk divaksinasi mencapai 10,000 namun daripada jumlah ini, hanya 1,000 orang mendaftar melalui MySejahtera dan selebihnya mendaftar secara manual.

“KKM sebelum ini mengadakan perjumpaan dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPMM). Semua ketua kampung diberi penerangan dan kita beri borang manual untuk penduduk kampung isi, selepas itu kita daftar dan kemudian beri tarikh vaksin.

“Agak banyak kerja tetapi tanpa usaha sebegini kita tidak akan dapat capai lebih 4,000 penduduk yang sudah divaksin setakat ini,” kata Shameer selain menambah bahawa pihaknya menyasarkan 120,000 daripada 140,000 penduduk Semporna disuntik vaksin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.