Tertuduh, Azizul Salahuddin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Adilah Mokhtar, hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didapati secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan tidak perlu terhadap haiwan dengan menyeret kucing di Jalan Attaduri, Langkap pada 6.30 petang 3 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Harian Metro melaporkan majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Julai ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Nur Azimah Che Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, S Kumaresan.
Awal bulan ini, rakaman tindakan lelaki itu menyeret kucing sambil menunggang motosikal tular di media sosial.
Dia kemudiannya ditahan polis ketika menyerah diri di Balai Polis Langkap pada 9 malam 4 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Ahmad Adnan Basri dilaporkan berkata, lelaki itu membuat laporan penafian mengenai kejadian itu dengan mendakwa dia menangkap kucing itu menggunakan sauk untuk dibuang di kawasan berdekatan rumahnya.
Tetapi katanya, lelaki itu mendakwa kaki depan kucing itu tiba-tiba terkeluar dari jaring sauk menyebabkannya terseret di atas jalan ketika dalam perjalanan ke kedai makan berhampiran.