Lari SJR sebab lesen mati, takut abang marah; lelaki akhirnya serah diri

Lari SJR sebab lesen mati, takut abang marah; lelaki akhirnya serah diri

Dalam kejadian di Lebuhraya Damansara Puchong, pemandu Toyota Lexus itu diarah berhenti untuk pemeriksaan polis, namun dia terus memecut sehingga hampir melanggar seorang lagi anggota bertugas.

Tangkap layar video tular menunjukkan pemandu Toyota Lexus melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
PETALING JAYA:
Selepas tular rakamannya memecut kenderaan apabila enggan berhenti di sekatan jalan raya (SJR), seorang lelaki menyerah diri di Balai Polis Trafik Sepang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 21 tahun itu bertindak demikian kerana lesen memandunya tamat tempoh.

Dalam kejadian di Kilometer 47.8 Lebuhraya Damansara Puchong, pemandu Toyota Lexus itu diarah berhenti untuk pemeriksaan polis, namun dia terus memecut sehingga hampir melanggar seorang lagi anggota bertugas.

“Hasil siasatan, polis mengenal pasti pemilik kenderaan berusia 31 tahun yang merupakan warga tempatan.

“Lelaki itu datang ke Balai Trafik Sepang pada 6.30 petang dan soal siasat mendapati semasa kejadian kenderaan itu dipandu oleh adiknya berusia 21 tahun,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Difahamkan lelaki itu tidak berhenti semasa pemeriksaan kerana takut dimarahi abangnya apabila memandu dengan lesen tamat tempoh.

“Kenderaan tersebut milik seorang lelaki berusia 31 tahun, namun digunakan adiknya. Bagaimanapun suspek datang serah diri di Balai Trafik Sepang pada pukul 8 malam hari sama,” katanya.

Dalam pada itu katanya, polis turut melakukan ujian saringan air kencing ke atas lelaki berkenaan dan keputusannya negatif.

“Kes disiasat bawah Seksyen 78(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.