Kurangkan jumlah kes harian tak cukup, kata ahli ekonomi

Kurangkan jumlah kes harian tak cukup, kata ahli ekonomi

Carmelo Ferlito berkata, strategi perubatan seperti meningkatkan penyelidikan farmaseutikal bagi keberkesanan rawatan harus dilakukan untuk membantu usaha memerangi Covid-19.

Ahli ekonomi Carmelo Ferlito berkata, fokus terhadap jumlah jangkitan harian akan menyaksikan lebih banyak kes berlaku selepas sekatan pergerakan dilonggarkan.
PETALING JAYA:
Pengurangan jumlah jangkitan harian Covid-19 tidak boleh dijadikan strategi sedangkan matlamat sebenarnya ialah untuk kembali kepada kehidupan normal dan mengelakkan kerosakan lanjut ke atas ekonomi, kata seorang ahli ekonomi.

Ia susulan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob yang meyebut bahawa kerajaan akan mengkaji semula keperluan meneruskan atau melonggarkan SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh sekiranya angka jangkitan harian Covid-19 berkurangan kepada 4,000 kes ke bawah.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME) Carmelo Ferlito berkata, rancangan lebih komprehensif diperlukan kerana langkah mengambil kira jumlah jangkitan harian semata-mata akan menyaksikan peningkatan kes selepas sekatan pergerakan dilonggarkan.

“Langkah tidak strategik itu akan memaksa Malaysia mengalami lebih banyak sekatan pergerakan untuk setahun lagi atau lebih. Kita memerlukan lebih daripada ini, negara tidak dapat bertahan setahun lagi dalam keadaan seperti ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sasaran Malaysia bukan hanya untuk meminimumkan jangkitan tetapi juga membolehkan kumpulan penduduk terkuat mencapai imuniti kelompok, sementara kumpulan paling rentan dilindungi dengan inisiatif ad-hoc dan strategi penjagaan di rumah.

Katanya, strategi perubatan seperti meningkatkan penyelidikan farmaseutikal bagi rawatan lebih berkesan harus dilakukan untuk membantu memerangi Covid-19

Carmelo berkata, perniagaan harus komited untuk menyaring kakitangan mereka setiap minggu dan ini dapat dilakukan melalui kit saringan mampu milik disediakan oleh teknologi ujian pantas.

“Selain itu, apabila saringan besar-besaran lebih kerap pada harga berpatutan diperkenalkan, kerajaan harus komited untuk membenarkan perniagaan beroperasi dan mengecualikan cukai ke atas perbelanjaan ujian saringan mereka,” katanya selain menambah bahawa ujian besar-besaran dan kerap boleh mengesan kes Covid-19 lebih awal.

Beliau berkata, lebih banyak pelaburan diperlukan untuk mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan dengan usaha bersama daripada kerajaan dan sektor swasta.

Kata beliau, cadangan ini bertujuan meminimumkan lagi kadar kematian dan mencapai imuniti kelompok bagi mengelakkan bencana sosial serta kemanusiaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.