
Hakim Ahmad Bache, yang memutuskan bahawa semua pembayar cukai adalah sama di sisi undang-undang, berkata jika mahkamah membenarkan perintah penggantungan itu kepada defendan (Najib), plaintif (kerajaan melalui LHDN) akan dihalang daripada memfailkan sebarang tindakan untuk mendapat kembali amaun cukai tertunggak terhadap bekas perdana menteri itu.
“Ini akan menjadi duluan yang tidak baik untuk diikuti dan digunakan oleh pembayar cukai lain sebagai alasan untuk mengelak atau menangguhkan pembayaran cukai dan menimbulkan, meskipun salah, satu inferens bahawa ‘sikap dwistandard’ kini dibenar serta diamalkan.
“Seperti yang diputuskan oleh mahkamah ini dalam penghakiman terus bertarikh 22 Julai 2020, defendan yang juga bekas menteri kewangan hendaklah tahu dan seharusnya tahu semua peruntukan undang-undang ini kerana LHDN sebagai agensi pungutan hasil adalah di bawah naungannya pada masa yang material manakala jumlah yang terlibat pula adalah besar,” katanya dalam penghakiman setebal 25 muka surat yang dikeluarkan kepada media.
Beliau berkata sehingga kini, Najib gagal membayar jumlah itu sebaliknya bertindak memfailkan permohonan untuk menggantung pelaksanaan perintah yang didakwa LHDN sebagai sudah terlambat manakala defendan sendiri tidak melakukan sebarang usaha membuat pembayaran dalam apa bentuk sekali pun.
Ahmad juga memutuskan bahawa Najib tidak mempunyai alasan kukuh untuk menangguhkan pelaksanaan perintah itu apabila beliau gagal membuktikan bahawa terdapat ‘keadaan khusus’ untuk memuaskan hati mahkamah.
Menyentuh hujah bahawa Najib berdepan risiko hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen susulan prosiding kebankrapan yang dimulakan oleh LHDN selepas beliau gagal melunaskan amaun terbabit, beliau berkata mahkamah bersetuju dengan LHDN bahawa ia tidak lebih daripada perasaan ‘takut akan kehilangan sesuatu.’
Beliau berkata LHDN mempunyai skim yang menyaksikan pembayar cukai dibenarkan membayar secara ansuran yang dipersetujui kedua-dua pihak dalam situasi ‘menang-menang.’
Hakim itu berkata berdasarkan alasan yang telah disebutkan, permohonan defendan untuk menggantung perintah pelaksanaan penghakiman terus bertarikh 22 Julai 2020 ditolak dengan kos sebanyak RM15,000.
Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.
Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun ini untuk pendengaran.
Kerajaan, melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Najib selaku penghutang.
Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.