Dugaan bapa hilang kerja akibat PKP, anak pula terlantar sakit

Dugaan bapa hilang kerja akibat PKP, anak pula terlantar sakit

Rajin yang hilang punca pencarian akibat PKP kini runsing untuk meneruskan kehidupan dan menyara anak yang lumpuh separuh badan.

Isteri Rajin, Jayandi terpaksa menjaga anak mereka, Raju setiap masa kerana dia tidak lagi dapat menguruskan dirinya sendiri.

Tidak jauh dari bandar Ipoh, terdapat sebuah rumah usang yang menjadi tempat berteduh sebuah keluarga kurang berkemampuan di Kampung Jelapang Baru.

Lebih menyedihkan, ketua keluarga itu, Rajin Veelasamy, 56, hilang punca pencarian sejak kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.

Dia yang bekerja sebagai kontraktor di tapak pembinaan diberhentikan selepas kerajaan membuat pengumuman itu bulan lalu.

Sebelum ini dia memperolehi pendapatan sekitar RM600 sebulan namun keadaan kewangan mereka kini semakin tenat, terutama untuk meneruskan hari-hari akan datang.

Sebahagian besar daripada pendapatan Rajin sebelum ini diperuntukkan untuk menjaga anak lelakinya berusia 31 yang lumpuh separuh badan, selain menanggung kos pengajian anak perempuannya.

Manakala isterinya, Jayandi, pernah mengalami kecederaan patah tangan selepas motosikal mereka dilanggar sebuah kereta menyebabkan tangannya tidak lagi berfungsi seperti biasa.

Menceritakan mengenai anaknya, Raju, pemuda itu mengalami kecederaan kekal selepas terbabit dalam satu kemalangan di Johor.

“Dia mengalami kecederaan teruk akibat terlanggar tiang lampu hingga koma selama 10 hari.

“Kini anak saya tidak mampu berjalan atau bercakap. Dia tidak dapat mengurus diri sendiri dan memerlukan bantuan ahli keluarga,” katanya.

Menurutnya, Raju adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang membolehkannya menerima bantuan elaun bulanan sebanyak RM250 yang digunakan untuk menampung kos rawatan neuropati.

“Ada rakan memberitahu mengenai sebuah klinik di Perlis yang memberi rawatan neuropati untuk pesakit angin ahmar serta pemulihan akibat kemalangan. Raju kini sudah boleh merasa pergerakan tangan dan kakinya,” katanya.

Gambar keluarga Rajin ketika anak-anaknya masih kecil.

Sejak 6 Jun lalu, kawasan tempat tinggal keluarga itu dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) menyebabkan sukar untuk mereka bergerak kerana kawasan itu sudah dipagar.

Ia menimbulkan masalah kepada Rajin untuk mengeluarkan wang dari bank bagi membeli pelbagai barangan keperluan asas mereka.

“Saya tidak mempunyai wang di tangan, manakala makanan dan barangan keperluan juga semakin berkurang,” katanya.

Ketika masih bekerja, Rajin menghantar kira-kira RM400 sebulan kepada anak perempuannya yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di sebuah institusi di Selangor.

Dia berharap anaknya yang turut mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu mampu menghabiskan pengajian tidak lama lagi, sekali gus dapat membantunya untuk meringankan beban yang dihadapi.

Rumah yang didiami oleh Rajin sekeluarga juga semakin usang.

Selain masalah kewangan, Rajin juga bimbang dengan keadaan rumahnya yang semakin usang kerana dimakan anai-anai dan hanya menunggu masa untuk rebah ke bumi.

“Saya bimbang ia runtuh menghempap kami nanti. Saya pernah mendapatkan bantuan daripada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi tetapi diminta menunggu, namun sehingga kini tiada siapa yang datang melihat keadaan kami,” katanya.

Yee Hong Yeng dan beberapa rakan datang melawat Rajin sekeluarga.

Bagaimanapun Rajin tetap bernasib baik kerana masih mempunyai beberapa rakan yang baik dan bersimpati dengan keluarganya seperti Yee Hoong Yeng, 42.

Yee yang mengusahakan sebuah kedai mi sering tampil membantu Rajin sekeluarga ketika mereka berada dalam kesusahan.

“Saya diberitahu oleh Ai Xin Group mengenai situasi mereka dan sudah menghantar pelbagai barangan keperluan kepada Rajin setiap bulan,” katanya.

Selain Rajin, Yee juga turut menyalurkan sumbangan kepada empat keluarga lain dengan bantuan beberapa rakan dan pertubuhan seperti Yayasan Tzu Chi dan Ai Xin Group.

Rajin memberitahu bahawa pihak polis membenarkan penduduk berada hingga di kawasan pagar untuk menerima sumbangan barangan keperluan harian.

Mereka yang ingin menyalurkan sumbangan kepada keluarganya boleh menghubunginya terus di talian 012-5239781.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.