
Stefan Lainer meletakkan Austria di depan pada minit ke-18, sebelum kapten Macedonia Utara berusia 37 tahun, Goran Pandev menyamakan kedudukan pada minit ke-28, sekali gus muncul penjaring gol kedua tertua dalam sejarah kejohanan.
Bagaimanapun, Gregoritsch menjaringkan gol penting 12 minit sebelum perlawanan tamat manakala penyerang veteran, Arnautovic menjaringkan gol ketiga bagi memastikan Austria menikmati kemenangan pertama Kejuaraan Eropah.
Dua lagi pasukan Kumpulan C, Belanda dan Ukraine akan bertarung di Amsterdam, sejam kemudian.
Selepas ini, Austria akan berkunjung ke Belanda pada Khamis manakala Macedonia Utara menanti Ukraine di Budapest.
Selepas bermula cemerlang, Austria menjaringkan gol pada minit ke-18 apabila bek kanan, Lainer menerima hantaran lintang Marcel Sabitzer dan menolak bola melepasi penjaga gol, Stole Dimitrievski.
Lainer meraikan jaringan dengan memegang baju tertera perkataan ‘Eriksen terus kuat’ selepas pemain tengah Denmark, Christian Eriksen mengalami jantung terhenti ketika menentang Finland, semalam.
Ini adalah kali pertama Austria mendahului lawan pada perlawanan Kejuaraan Eropah.
Macedonia Utara kemudian mengasak dan menyamakan kedudukan pada minit ke-28 apabila penjaga gol Austria, Daniel Bachmann terlepas bola dalam situasi kelam kabut di depan gol sebelum Pandev mudah menyempurnakan kesempatan itu.
Ia adalah jaringan ke-38 bekas penyerang Inter Milan itu buat negaranya, yang juga rekod jaringan terbanyak negara itu.