
Pemangku Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi berkata siasatan itu dimaklumkan Fifa melalui e-mel, lapor Berita Harian.
“Fifa mahu meneliti peranan Noor Azman, proses dilaluinya dan sejauh mana beliau terlibat dalam dokumen dihantar.
“Mereka ingin memahami tanggungjawab beliau dengan lebih mendalam,” katanya.
Yusoff berkata Noor Azman juga akan ‘dihadapkan’ kepada Jawatankuasa Disiplin FAM seperti gesaan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC), sebelum nasibnya bakal diputuskan nanti.
“Jika didapati bersalah, kita akan bawa kepada Exco untuk menentukan hukuman. Ia bergantung kepada sejauh mana kesalahan dilakukannya itu,” katanya.
Oktober lalu, Noor Azman digantung tugas serta-merta susulan siasatan membabitkan Fifa berhubung status tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Penggantungan itu berkuat kuasa 17 Okt.
FAM dan tujuh pemain bola sepak warisan dikenakan penalti oleh Fifa selepas badan dunia itu berkata FAM menyerahkan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun.
FAM didenda 350,000 Swiss francs (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda 2,000 Swiss francs (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemberitahuan.
Pada 3 Nov, Fifa mengumumkan ia menolak rayuan FAM ke atas hukuman yang dikenakan, dan Harimau Malaya mungkin akan dipotong mata dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang sedang berlangsung.
FAM memulakan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan.