
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, usaha itu dilakukan kerana kemiskinan haid adalah isu global dan turut memberi kesan kepada kelompok miskin bandar di Malaysia.
“Sebagai permulaan, Kedai @maiwphq dan YADIMart @YadimOfficial menyediakan tuala wanita percuma. Usaha dan kempen kesedaran perlu terus digiatkan dalam kalangan masyarakat,” katanya di Twitter.
Dalam bebenang Twitternya, Zulkifli berkata, bantuan tuala wanita percuma itu boleh diperoleh dan didapati di rak Gerobok Rezeki kedai MAIWP dan Bank Makanan YADIMart.
“Terima kasih pembayar zakat,” katanya.
Zulkifli berkata, orang ramai yang ingin membantu dan menyumbangkan dana dalam membantu usaha YADIM itu boleh melayari laman web YADIM atau boleh menyalurkannya terus ke akaun Maybank YADIM dan setiap sumbangan layak mendapat potongan cukai.
“Ini sudah pasti usaha yang panjang kerana ia berkait rapat dengan pelbagai akar permasalahan.
“Agensi-agensi agama peringkat persekutuan di bawah tanggungjawab saya akan terus menyokong usaha murni ini. Terima kasih pembayar zakat dan penderma infaq!” katanya.
Sementara itu, pengguna Twitter, @FatimahAl_Attas turut memuji dan mengucapkan terima kasih atas inisiatif yang dilakukan MAIWP dan YADIM itu.
Beliau yang juga ahli akademik berharap usaha itu turut akan dapat disampaikan kepada golongan luar bandar yang memerlukan.
“Terima kasih @drzul_albakri @YadimOfficial dan @maiwphq kerana membantu bersama-sama menangani isu #kemiskinanhaid bandar. Diharap usaha ini juga memberi lebih kesedaran dan dapat mendorong usaha jangka masa panjang untuk semua golongan yang terjejas.
“Tetapi tuala wanita pakai buang kurang sesuai untuk luar bandar kerana kekurangan akses yang lain, lebih sesuai untuk menyediakan tuala wanita berbentuk ‘cloth pad’,” katanya membalas ciapan Zulkifli.