Kurang kepercayaan terhadap institusi membahayakan, kata putera Negeri Sembilan

Kurang kepercayaan terhadap institusi membahayakan, kata putera Negeri Sembilan

Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz berkata, sepanjang tahun lalu, persoalan mengenai kepimpinan, akauntabiliti dan ketelusan mengiringi keputusan berkaitan cara menangani pandemik Covid-19.

Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz berkata, penting untuk institusi negara disokong oleh kepercayaan rakyat serta asas Perlembagaan yang kukuh.
PETALING JAYA:
Kurang kepercayaan terhadap institusi negara membawa “kemudaratan besar” ketika pandemik, termasuk sains “tidak dapat menyaingi ” kepercayaan tahyul dan teori konspirasi, kata Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.

Putera kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu berkata, sepanjang tahun lalu, persoalan mengenai kepimpinan, akauntabiliti dan ketelusan turut mengiringi keputusan berkaitan cara menangani pandemik Covid-19.

“Jika kita mahu melangkau kelangsungan hidup selepas pandemik, kita perlu menjawab persoalan ini, kita tidak teruskan seperti semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja,” kata beliau pada forum maya anjuran Projek Sunway bagi Hubungan Asia dan Antarabangsa semalam.

Tunku Zain yang juga presiden pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), berkata penting untuk institusi negara disokong oleh kepercayaan rakyat serta asas Perlembagaan yang kukuh.

Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.

“Ini adalah penting untuk kestabilan, kemakmuran dan kebahagiaan,” katanya sambil menambah hanya dengan adanya perkara itu, negara boleh mengejar matlamat seperti pelan induk ekonomi digital dan pembangunan mampan.

Tunku Zain berkata, institusi yang kukuh disokong keyakinan rakyat akan membawa kepada kestabilan dan memastikan dasar mempunyai tahap kebolehramalan.

“Ketika pandemik, kita lihat bagaimana ia kurang kepercayaan dalam institusi membawa kemudaratan besar. Kita lihat bagaimana sains tidak dapat menyaingi tahyul dan teori konspirasi, bagaimana langkah kesihatan awam dipersendakan sebagai konspirasi, atau kempen vaksin adalah konspirasi.

“Sikap sebegini mendapat perhatian apabila rakyat kurang kepercayaan terhadap institusi dan merasakan mereka tidak boleh mempercayai institusi untuk mengeluarkan mereka daripada krisis,” katanya.

Beliau memberi amaran peningkatan kadar kemiskinan mungkin memburukkan lagi ketidakpercayaan sebahagian penduduk yang tidak merasakan keperluan mereka dijaga.

Katanya, ia tidak membantu apabila institusi itu sendiri dicemari rasuah, kurang ketelusan dan akauntabiliti, atau menyebabkan kerosakan terhadap ekonomi serta alam sekitar.

Apabila rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi, ia membuka peluang kepada “pelampau” untuk melemahkan masyarakat, yang sepatutnya berdasarkan konsensus.

“Selepas tahap tertentu, jika hakisan kepercayaan terlalu banyak, membina semula konsensus menjadi sukar.

“Itu sebabnya cabaran untuk kita adalah mengembalikan harapan dalam rakyat untuk mempercayai institusi, yang Perlembagaan Persekutuan masih layak ditegakkan dengan sistem demokrasi berparlimen mampu mengeluarkan kita daripada pandemik ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.